KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Selangor dijangka kembali menyertai UMNO.
Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr. Mohd. Zaidi Md. Zin berkata, ia susulan Bersatu menarik kepemimpinan UMNO negeri untuk memberikan sokongan kepada mereka.
“Setakat yang saya tahu melalui perbincangan jawatankuasa, mereka menggunakan bekas kepemimpinan UMNO untuk menarik sokongan daripada UMNO. Mereka juga ada membuat tawaran dan cuba menarik sokongan, khususnya daripada ahli Parlimen parti gabungan.
“Mereka menggunakan bekas pemimpin UMNO atas dasar kenalan lama dan hubungan antara sahabat lama untuk cuba menarik sokongan daripada sebahagian kepimpinan UMNO.
“Tetapi percubaan mereka setakat ini gagal. Tidak ada kecenderungan dalam kalangan kepemimpinan UMNO untuk pergi kepada Bersatu.
“Malah, akan ada lagi kepimpinan Bersatu yang kembali kepada UMNO, termasuk dalam kalangan wakil rakyat di peringkat DUN Selangor. Ada yang kembali semula kepada UMNO, tetapi tidak perlulah saya sebut nama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Mohd. Zaidi berkata, UMNO Selangor kini lebih melihat potensi kerjasama dengan Pas berbanding Bersatu.
Beliau berkata, Bersatu semakin tidak relevan dan kerjasama parti itu dengan PKR tidak akan memberikan nilai tambah kepada sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH).
“Parti Bersatu sekarang ini sudah tidak relevan. Persamaan Bersatu dengan PKR sebenarnya tidak akan menambahkan undi kepada PKR atau PH dan tidak memberikan apa-apa kesan kepada sokongan rakyat.
“Rakyat tidak melihat Bersatu sebagai pengganti kepada UMNO. Lebih-lebih lagi apabila di Selangor kita dapat melihat kegagalan mereka dalam pentadbiran parti sehingga berlaku perpecahan dan pelbagai desakan.
“Dalam pentadbiran kerajaan juga, ia tidak menunjukkan kejayaan,” katanya. – UTUSAN










