Ajai jamin tiada konflik kepentingan dalam penjurian AIM25 - Utusan Malaysia

Ajai jamin tiada konflik kepentingan dalam penjurian AIM25

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Juri Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), Ajai, memberi jaminan bahawa tiada konflik kepentingan dalam kalangan barisan juri, termasuk apabila karya mereka sendiri atau individu yang mempunyai hubungan dengan mereka turut bersaing dalam pencalonan.

Menurut Ajai, perkara berkenaan sudah mempunyai mekanisme dan garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan proses penjurian berlangsung secara adil dan
profesional.

Katanya, kebanyakan juri sendiri tidak mengetahui karya mereka terlibat dalam pencalonan kerana penghantaran lagu untuk AIM dibuat oleh pihak label.

“Bila mereka dipanggil pun, mereka tak tahu lagu-lagu mereka ada terbabit sebab penghantaran lagu dibuat oleh label-label.

“Industri kita kecil. Kita harus menggunakan kepakaran generasi sekarang juga, sama ada orang lama ataupun yang baharu yang masih terlibat dalam muzik sekarang (untuk menilai).

“Walau saya selaku ketua juri pun, saya tak tahu lagu saya ada di dalam kategori pop. Kita berkarya dan kita berkhidmat. Bila saya menyatakan AIM ini sebagai satu khidmat, kita berkhidmat untuk industri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, semalam.

Menurutnya, kedudukan sebagai juri bukan bermakna seseorang itu mempunyai kepentingan untuk memastikan karya sendiri memenangi sesuatu kategori, sebaliknya karya mereka akan dinilai oleh orang lain.

Ajai menjelaskan pihak Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) sebagai penganjur sudah menetapkan mekanisme tertentu sekiranya seseorang juri mempunyai kaitan dengan karya yang sedang dinilai bagi mengelak konflik berkepentingan.

“Kalau ada juri itu terlibat dalam pencalonan yang dijurikan, sebelum dijurikan, saya akan periksa dulu.

“Kalau lagu itu dia terbabit, dia kena letak ‘S’. Dia hanya mendengar saja tanpa menggunakan pen (memberikan markah). Perkara itu akan dipantau oleh saya dan juga pihak RIM.

“Saya rasa mereka ini pun takkan ada masalah seperti, ‘Oh, nak sangat lagu aku menang’. Rata-rata yang saya lihat, semua juri memberikan kerjasama yang bagus dan memberikan pendapat yang bagus,” katanya.

Jelas Ajai, mekanisme sama turut dilakukan sekiranya juri tersebut mempunyai pertalian darah dengan mana-mana artis yang tersenarai dalam pencalonan.

“Kalau isteri dia bertanding, dia tak ada hakimi bini dia dalam kategori itu. Sama juga kalau ahli keluarga tak kisahlah bapa saudara mahupun orang gaji sekalipun.

“Akan letak ‘S’ juga bagi mengelak ‘conflik of interest’,” katanya.

AIM25 menampilkan 120 barisan juri pelbagai latar belakang, termasuk komposer, pemuzik, penyanyi, penerbit dan penggiat seni.

Antara nama yang menganggotai panel berkenaan ialah Prof. Madya Dr. Azam Dungun, Abraham Tee, Adi 6ixth Sense, AG Coco, Ahmad Ghazi, Akim Ahmad, Alvin Teoh, Amir Jahari dan Amylea Azizan.

Turut disenaraikan ialah Datuk Chuari Selamat, Datuk Syafinaz, DJ Fuzz, Dr Burn, Edrie Hashim, Ernie Zakri, Fauzi Marzuki, Fedtri Yahya dan Galvin Patrick Martin.

Nama berpengalaman lain termasuk Genervie Kam, Hael Husaini, Hafiz Hamidun, Kamarul Izam, Loque, Mark Adam, Saari Amri, Sharon Paul dan Tomok.

Bagaimanapun, persoalan timbul apabila terdapat beberapa karya yang dipertandingkan mempunyai kaitan dengan juri seperti lagu Diari Air Mata ciptaan Ajai, Ayuh Pulang ciptaan Amir Jahari, Gasoline nyanyian Akim and The Majistret, Beribu Tanda Tanya nyanyian Syamel dan Cinta Negara Selamanya nyanyian Stacy. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×