KUALA LUMPUR: Nostalgia terhadap jasa lalu tidak lagi memadai untuk memenangkan UMNO kerana rakyat mahu melihat perkara yang dilakukan parti itu pada hari ini demi masa depan mereka.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kemenangan parti di Johor serta kerjasama dua kekuatan politik Melayu di Negeri Sembilan juga tidak boleh dijadikan alasan untuk UMNO mendabik dada.
“Sebaliknya, kepercayaan yang diberikan rakyat perlu dibalas dengan kerja dan khidmat.
“Rakyat tidak lagi mahu mendengar apa yang pernah kita lakukan dahulu. Mereka mahu tahu apa yang kita lakukan hari ini untuk masa depan mereka,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini hari ini.
Menurut Muhamad Akmal, Melaka menjadi ujian kepada UMNO untuk menterjemahkan kesedaran kepada kerja, penyatuan kepada dasar serta dasar kepada kehidupan rakyat.
Katanya, Pemuda UMNO sudah bersedia membantu mempertahankan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri itu.
“Saya yakin Pemuda mampu meraih sokongan pengundi muda berdasarkan pencapaian saluran muda di Johor dan Negeri Sembilan.
“Bagaimanapun, kemenangan itu bukan lesen untuk UMNO berasa selesa kerana keyakinan rakyat perlu terus dipertahankan menerusi usaha dan perkhidmatan,” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal berkata, beliau enggan menjadi calon sekiranya BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Saya tidak berminat untuk menjadi calon sekiranya BN bekerjasama dengan PH di Melaka,” katanya. – UTUSAN










