Polis tahan lelaki didakwa minta sedekah sambil bawa parang

Polis tahan lelaki didakwa minta sedekah sambil bawa parang

GAMBAR lelaki yang didakwa membawa parang sambil meminta sedekah di Taman Pekan Baru, Sungai Petani. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis memberkas seorang lelaki tempatan yang membawa sebilah parang ketika dipercayai meminta sedekah di sekitar Taman Pekan Baru, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek berumur 44 tahun ditahan ketika berlegar-legar berhampiran sebuah restoran kira-kira pukul 11 malam tadi.

“Semasa ditahan kita tidak menemui apa-apa objek tajam bersamanya dan semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan dadah.

“Buat masa ini siasatan dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial yang mendakwa seorang lelaki sering berkeliaran di kawasan parkir Taman Pekan Baru sambil membawa parang.

Suspek turut didakwa pernah memarahi beberapa pemandu kereta selepas permintaannya untuk mendapatkan wang ditolak, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan orang ramai yang berada di kawasan itu.

Sementara itu, Hanyan meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu seperti pernah diganggu, diugut atau berdepan sebarang perlakuan jenayah membabitkan lelaki terbabit supaya tampil membuat laporan bagi membantu siasatan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya segera menghubungi talian kecemasan 999 sekiranya terdapat individu membawa senjata dan berkeliaran di tempat awam bagi membolehkan tindakan segera diambil.

“Orang ramai hendaklah menyalurkan sebarang maklumat melalui saluran yang betul kepada pihak polis dan bukannya menjadikan kejadian berkenaan sebagai kandungan media sosial untuk dimuat naik atau disebarkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×