Tiada laluan mudah buat JDT dalam Piala FA - Wan Rohaimi

Tiada laluan mudah buat JDT dalam Piala FA – Wan Rohaimi

WAN ROHAIMI WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Penang FC berikrar untuk tidak akan memberi laluan mudah kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan diundi bertemu dalam aksi suku akhir Piala FA musim ini.

Pengendalinya, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, meskipun dijadual bertemu skuad Harimau Selatan buat kali kedua berturut-turut pada peringkat yang sama, namun, beliau enggan membiarkan ‘pisang berbuah dua kali’.

“Jadual (perlawanan) pun seolah-olah sama seperti tahun lepas. Maknanya, kami jumpa Melaka FC dahulu kemudian jumpa JDT di suku akhir. Tapi, apapun, Alhamdulillah kerana sekurang-kurangnya kami telah melepasi satu pusingan buat masa ini.

“Kami akan bersedia untuk itu (menentang JDT) walaupun kami tahu mereka merupakan sebuah pasukan yang utuh dan sangat hebat,” katanya kepada pemberita, di sini.

Terdahulu, Penang FC berjaya menyekat kemaraan Melaka FC pada pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA apabila menang dengan agregat 3-1 dalam aksi timbal balik termasuk kemenangan 2-1 dalam aksi di Stadium Bandaraya, semalam.

Sementara itu, Wan Rohaimi berkata, buat sementara waktu, fokus pasukan kini lebih terarah kepada aksi Liga Super menentang Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) Sabtu ini.

Katanya, perlawanan tersebut dianggap penting kepada Penang FC dalam usaha mereka untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan liga selepas gagal mencatatkan sebarang kemenangan atau jaringan dalam tiga perlawanan pertama setakat ini..-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×