PETALING JAYA: Punca nahas helikopter BO-105 yang mengorbankan lima individu petugas kesihatan di Ulu Baram, Sarawak, masih belum dapat dipastikan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan kini menjalankan siasatan menyeluruh dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Katanya, kesemua lima mangsa telah dikenal pasti, namun pengesahan rasmi identiti masih akan dilakukan menerusi ujian sampel DNA.
“Pengecaman awal dibuat berdasarkan barangan peribadi yang ditemukan pada jasad mangsa termasuk telefon bimbit, rantai dan dompet, selain cebisan pakaian serta kedudukan tempat duduk dalam helikopter,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Kelima-lima mangsa ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamaruddin, 33; Penolong Pegawai Perubatan, Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.
Kesemua jasad mangsa (yang ditemukan) telah dibawa ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat dan ujian DNA.
Semalam, polis memaklumkan helikopter BO-105S yang dinaiki kesemua mangsa baru menjalani penyelenggaraan pada 24 Ogos lalu.
Hasil siasatan polis juga mendapati, helikopter berkenaan mempunyai keupayaan untuk digunakan bagi penerbangan selama sehingga 100 jam. – UTUSAN










