Sejak bila perlu minta maaf kerana menjadi UMNO?  - Utusan Malaysia

Sejak bila perlu minta maaf kerana menjadi UMNO? 

NORAINI Ahmad (kiri) pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Perdagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO tidak perlu meminta maaf kerana terus mempertahankan identiti perjuangan berasaskan agama, bangsa dan tanah air.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, UMNO tidak akan membuang identitinya semata-mata untuk mendapatkan penerimaan atau tepukan pihak lain.

“Wanita mahu bertanya, sejak bila kita perlu meminta maaf kerana menjadi UMNO?

“UMNO lahir daripada kesedaran orang Melayu untuk mempertahankan masa depan agama, bangsa dan tanah air.

“Sebab itu, UMNO bukan parti yang tercipta kerana musim politik. UMNO lahir kerana sebuah bangsa tidak mahu kehilangan hak untuk menentukan masa depannya sendiri,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), hari ini.

Noraini berkata, terdapat pihak yang berpandangan bahawa perjuangan berasaskan agama dan bangsa tidak lagi sesuai dengan perubahan zaman serta mahu UMNO meninggalkan identitinya atas nama kemajuan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, UMNO tidak akan meninggalkan identiti yang menjadi asas perjuangan parti itu sejak penubuhannya.

“Ya, UMNO mempunyai identiti. UMNO lahir dengan identiti. UMNO membesar dengan identiti.

“UMNO juga tidak akan membuang identitinya hanya untuk mendapatkan tepukan. Apatah lagi tepukan daripada mereka yang tidak memahami sejarah perjuangan kita,” katanya.

Beliau berkata, parti ini tidak mempunyai masalah sekiranya usaha mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan orang Melayu dan Bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan serta bahasa Melayu dan institusi Raja-Raja Melayu dianggap sebagai politik identiti.

Namun, katanya, politik identiti yang dibawa UMNO tidak seharusnya disamakan dengan politik kebencian.

“Kita tidak perlu membenci kaum lain untuk membela orang Melayu. Kita tidak perlu menghina agama lain untuk mempertahankan Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×