KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO diingatkan supaya tidak bersifat apologetik dalam mempertahankan perjuangan dan tidak berasa malu memperjuangkan sisi nasionalis parti.
Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin berkata, kesalahan perwatakan orang Melayu adalah pada kebisuannya apabila hak mereka dipersoal dan dipadam sedikit demi sedikit.
Beliau berkata, Pemuda UMNO juga tidak boleh bersifat apologetik dalam mempertahankan agama, raja dan keharmonian negara dalam pelbagai isu.
“Kita terima politik identiti kerana sudah tentu kaum Melayu lebih tahu keperluan, kehendak dan gaya hidup orang Melayu dan Islam, begitu juga kaum Tionghua dan India, juga penduduk asli pribumi.
“Selagi mana mengikut garis undang-undang dan menjaga sensitiviti dan hubungan antara kaum, kita meraikan perkara ini bukan saling memomokkan,” katanya dalam ucapan Laporan Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, Datuk Mohd. Hasnol Ayub dan Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Hadir sama, Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah dan Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon; Ketua Pemuda MIC, Arvind Krishnan dan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Hafiz berkata, dalam melangkah ke hadapan, Pemuda UMNO mesti menang bertempur dengan parti politik lain di medan perang iaitu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
“Kita mahu mendapatkan kepercayaan rakyat. Agar kita diberikan mandat untuk menggubal polisi dan dasar, demi melaksanakan agenda rakyat dan bumiputera.
“Apa sahaja jalan yang kita pilih selepas ini mestilah jalan yang menguatkan parti, menyatukan ummah dan membawa manfaat kepada rakyat keseluruhannya.
“Besar harapan rakyat untuk melihat negara yang stabil dan ummah yang bersatu. Di atas tangan kita, kalangan atasan yang memungkinkan harapan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan dalam tempoh Februari hingga Ogos tahun ini Pemuda UMNO berjaya mencatatkan penambahan keahlian sebanyak 16,920 ahli baharu.
Ia juga menjadi yang tertinggi dalam kalangan sayap lain apabila keahlian secara dalam talian dilancarkan sempena ulang tahun UMNO ke-80. – UTUSAN










