Kemenangan Johor, Negeri Sembilan bukan untuk UMNO mendabik dada

Kemenangan Johor, Negeri Sembilan bukan untuk UMNO mendabik dada

NORAINI Ahmad (tiga dari kanan) bersama barisan pimpinan Wanita UMNO Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Perdagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini. -UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dan UMNO di Johor serta Negeri Sembilan bukan untuk dibanggakan secara berlebihan, sebaliknya merupakan amanah rakyat yang perlu diterjemahkan dengan bekerja lebih kuat.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kemenangan tersebut menunjukkan sedikit demi sedikit rakyat mula membuka semula pintu kepercayaan kepada UMNO dan BN.

Menurutnya, Johor menjadi negeri pertama yang membuka ruang kepercayaan itu dengan begitu luas apabila BN memenangi 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, manakala UMNO menang 36 daripada 37 kerusi.

“Kemenangan ini bukan untuk kita mendabik dada. Ini amanah rakyat. Amanah untuk bekerja lebih kuat dan menjaga rakyat lebih baik.

“Terima kasih kepada seluruh rakyat Johor. Terima kasih kepada semua jentera yang bekerja siang dan malam. Setiap usaha, setiap keringat dan setiap pengorbanan akhirnya membuahkan hasil,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Menurut Noraini, momentum tersebut kemudiannya diteruskan di Negeri Sembilan apabila BN memenangi kesemua 16 kerusi yang ditandingi.

“Ini bukan kemenangan biasa. Ini kemenangan besar yang lahir daripada keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional.

“Kepada rakyat yang memberikan kepercayaan, terima kasih. Kepercayaan itu bukan hadiah untuk kita nikmati. Ia adalah amanah untuk kita galas,” katanya.

Dalam pada itu, Noraini turut menghargai sumbangan jentera Wanita UMNO dari seluruh negara yang bekerja bagi membantu kemenangan parti.

“Kepada Wanita UMNO yang turun dari seluruh negara, kemenangan ini juga milik saudari.

“Setiap langkah, keringat dan pengorbanan saudari semua ada di sebalik kemenangan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×