KUALA LUMPUR: Wanita UMNO tidak akan melupakan jasa dan sumbangan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pembangunan negara dan perjuangan parti.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, parti tidak perlu memadam sejarah untuk membina masa depan, sebaliknya perlu terus menghargai pemimpin terdahulu yang telah berjuang dan menyumbang kepada UMNO dan negara.
Menurutnya, sumbangan Najib dalam pembangunan negara, transformasi ekonomi, infrastruktur serta bantuan kepada rakyat merupakan sebahagian daripada perjalanan negara yang tidak boleh dinafikan hanya kerana perubahan politik.
“Dalam perjuangan, kita juga jangan menjadi bangsa yang mudah lupa. Kita menghargai mereka yang pernah menyumbang kepada parti.
“Kita tidak perlu memadam sejarah untuk membina masa depan,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut Noraini, Wanita UMNO pada masa sama menghormati institusi serta proses perundangan dalam perkara yang sedang melalui proses undang-undang.
Bagaimanapun, katanya, menghormati proses tersebut tidak menghalang pergerakan itu daripada mempunyai nilai kemanusiaan dan mengenang jasa bekas Presiden UMNO berkenaan.
“Wanita UMNO tahu mengenang jasa. Kepada Datuk Seri Najib dan keluarga, Wanita UMNO mendoakan diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi setiap ujian.
“Kita terus berdoa agar pintu keadilan dan ihsan dibuka, supaya beliau dapat kembali ke pangkuan keluarga dan bersama-sama meneruskan perjuangan,” katanya. – UTUSAN









