Ledakan Odegaard pastikan Arsenal atasi Napoli

Ledakan Odegaard pastikan Arsenal atasi Napoli

PEMAIN Tengah Arsenal, Martin Odegaard (kiri) merebut bola daripada pemain Napoli, Antonio Vergara pada aksi Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Diego Armando Maradona, awal pagi tadi.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAPLES: Martin Odegaard terus membuktikan statusnya sebagai pemain paling berpengaruh Arsenal apabila jaringan tunggalnya memastikan kemenangan 1-0 ke atas Napoli dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Diego Armando Maradona, awal pagi tadi.

Gol yang dihasilkan kapten The Gunners pada minit ke-75 itu bukan sahaja menghadiahkan tiga mata berharga buat wakil England tersebut, malah meneruskan rentetan prestasi cemerlangnya sejak permulaan musim 2026-27.

Arsenal tampil sebagai pasukan lebih dominan sepanjang perlawanan dengan menguasai sebahagian besar permainan dan kerap mengancam kubu Napoli menerusi gerakan pantas serta tekanan tinggi.

Skuad kendalian Mikel Arteta itu mencatatkan 26 percubaan ke arah gol, sekali gus menjadi rekod tertinggi kelab berkenaan dalam aksi Liga Juara-Juara di tempat lawan.

Bagaimanapun, ketumpulan penyudah hampir mengundang kekecewaan sebelum Odegaard muncul penyelamat menerusi rembatan padu yang gagal diselamatkan penjaga gol Napoli, Alex Meret bagi memecahkan kebuntuan perlawanan.

Arteta menyifatkan keputusan tipis itu tidak menggambarkan penguasaan sebenar Arsenal yang menurutnya mempamerkan persembahan luar biasa sepanjang 90 minit.

“Kami mencipta begitu banyak peluang dan mengawal permainan. Keputusan ini tidak menggambarkan sepenuhnya prestasi pasukan, tetapi saya amat gembira dengan cara pemain bermain,” katanya.

Pemain antarabangsa Norway berusia 27 tahun itu kini sudah mengumpul empat gol dalam lima perlawanan musim ini.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×