KUALA LUMPUR: Wartawan Utusan Malaysia, Aslinda Nasir menerima Anugerah Media Wanita UMNO Malaysia sempena Perhimpunan Agong UMNO 2026, hari ini.
Anugerah tersebut diberikan atas jasa dan sumbangan beliau dalam menghasilkan karya yang mengangkat imej Wanita UMNO.
Penerimaan anugerah disampaikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail diiringi Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari berkata, anugerah yang julung kali diadakan ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada pengamal media dan penggiat kandungan.
“Anugerah ini diberikan kepada mereka yang telah menghasilkan karya berkualiti dalam mengangkat kisah perjuangan dan sumbangan wanita UMNO kepada masyarakat.
“Pemilihan dibuat berdasarkan kualiti karya, kreativiti dan nilai kewartawanan serta impak dan keberkesanan karya dalam mengetengahkan peranan, suara dan sumbangan wanita UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Aslinda, anugerah yang diterima itu dapat menaikkan namanya sebagai seorang wartawan dan jenama Utusan Malaysia.
“Pengiktirafan ini juga menunjukkan UMNO sentiasa menghargai nilai kewartawanan dan peranan media dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat,” katanya. – UTUSAN







