Jangan langgar garis merah – Ahmad Zahid

Jangan langgar garis merah – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi ketika Majlis Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di WTCKL Kuala Lumpur, hari ini. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO memberi amaran supaya parti-parti yang menubuhkan Kerajaan Perpaduan melalui Perjanjian 18 Perkara supaya tidak melangkaui garis merah ditetapkan.

Ini kerana ia boleh mengguris hati orang Melayu termasuk mengganggu gugat kedudukan Islam, orang Melayu, Majlis Raja-Raja dan bahasa Melayu.

Salah seorang perwakilan UMNO berkata, amaran itu dikeluarkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sesi taklimat tertutup melibatkan semua perwakilan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Katanya, dalam taklimat itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dengan tegas berkata, parti itu tidak akan pernah berkompromi sekiranya mana-mana parti politik yang bergabung menubuhkan Kerajaan Perpaduan melanggar garis merah ditetapkan.

“Sekiranya perkara itu berlaku, UMNO akan bangkit dan berdiri teguh untuk mempertahankan keempat-empat elemen tersebut. Kita tidak akan berkompromi.

“Beliau (Ahmad Zahid) juga menyentuh soal hormat menghormati tanpa menindas mana-mana pihak kerana persefahaman dibentuk adalah bersifat dua hala,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam taklimat sama, sumber berkata, Ahmad Zahid turut mendedahkan bahawa berdasarkan perjanjian itu, kerajaan dibentuk hendaklah dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan bukannya Kerajaan Madani seperti yang berlaku hari ini.

Pada masa sama, katanya, Ahmad Zahid juga menuntut supaya segala janji dalam Perjanjian 18 Perkara itu dilaksanakan sepenuhnya sehingga akhir penggal.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan sebagai pelengkap tetapi sebagai rakan kongsi politik yang membentuk kerajaan hari ini,” katanya.

Sementara itu, perwakilan UMNO itu turut berkata, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh juga diingatkan supaya berhati-hati dalam berunding dengan mana-mana parti politik untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Me­laka supaya ‘tidak dipatuk ular buat kali kedua’.

Katanya, Ahmad Zahid memberi mandat kepada Ab. Rauf untuk mengadakan rundingan kerjasama politik dengan parti lain bagi mengharungi PRN Melaka.

Bagaimanapun, katanya, Ahmad Zahid juga menegaskan mengenai keikhlasan dalam bekerjasama dan jangan dikhianati kepercayaan diberikan.

“Presiden menggunakan perumpamaan supaya tidak dipatuk ular sama untuk kali ke­dua dalam melakukan rundingan. Beliau juga mengingatkan bahawa persefahaman dibina mesti berteraskan keikhlasan, rasa hormat dan jangan berkhianat,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×