Pentadbiran Trump buru pendatang ada hutang di AS

Pentadbiran Trump buru pendatang ada hutang di AS

ANGGOTA penguatkuasa berkumpul di luar pusat imigresen persekutuan di Delaney Hall yang menempatkan pendatang di Newark, New Jersey.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden, Donald Trump mengupah kontraktor swasta untuk menjejaki pendatang yang sudah dihantar pulang dari Amerika Syarikat (AS) namun didakwa masih berhutang ratusan juta dolar kepada kerajaan negara itu, dalam usaha memperluas tindakan keras imigresen merentasi sempadan.

Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) berkata, pihaknya berusaha mendapatkan semula kira-kira AS$423 juta (RM1.7 bilion) dalam bentuk denda dan bayaran daripada lebih 66,300 individu yang dihantar keluar dari AS.

Ogos lalu, agensi berkenaan bersetuju membayar sehingga AS$36 juta (RM146 juta) kepada empat firma bagi mengesan individu di Mexico, Honduras dan Guatemala yang didakwa masih mempunyai tunggakan bayaran.

Perkara itu berdasarkan notis yang disiarkan di laman web perolehan kerajaan AS.

Inisiatif itu menandakan peluasan ketara usaha penguatkuasaan imigresen Trump, yang membolehkan kerajaan memperluas kuasanya terhadap individu yang sudah keluar dari negara itu.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan bayaran berkenaan mungkin berdepan cabaran.

Masih belum jelas sama ada kerajaan AS mempunyai asas undang-undang untuk mewajibkan individu yang sudah dihantar pulang dari negara itu melunaskan bayaran berkenaan.

Notis kontrak itu tidak menjelaskan bagaimana AS boleh memaksa bayaran berkenaan dibuat atau apakah peranan yang akan dimainkan oleh kerajaan Mexico, Honduras dan Guatemala.

Agensi Imigresen Mexico berkata, pihaknya tidak terlibat dalam inisiatif tersebut.

“Perkara itu di luar bidang tanggungjawab kerajaan Mexico. Atas sebab itu, pihak berkuasa negara menerusi Institut Migrasi Kebangsaan tidak terlibat atau mempunyai pengetahuan mengenainya,” kata agensi itu sebagai menjawab pertanyaan kelmarin.

Berdasarkan dokumen kontrak, kontraktor berkenaan mungkin mengambil gambar rumah atau mendapatkan bil utiliti, rekod pekerjaan atau dokumen mahkamah bagi mengesan individu yang dihantar pulang serta menilai kemampuan mereka untuk membuat bayaran.

Bagaimanapun, masih belum pasti sama ada individu yang dihantar pulang itu mampu membayar jumlah yang didakwa menjadi hutang mereka kepada AS.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×