PETALING JAYA: Lima individu termasuk bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), bekas Ketua Pegawai Kewangan dan seorang kakitangan yang masih berkhidmat dengan institusi itu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, tiga daripada individu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu pembayaran hibah pada 2017.
“Dua lagi individu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Kesemua tangkapan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 48 hingga 70 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rusdi, tiga individu berkenaan direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok/
“Sementara itu, dua individu yang terlibat dalam siasatan di bawah AMLATFPUAA dibenarkan reman selama tiga hari bermula 9 hingga 11 September ini.
“Siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan proses pengumpulan maklumat dan bukti berkaitan kes berkenaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, PDRM mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung siasatan berkenaan.
Menurutnya, penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan proses siasatan.
“Sehubungan itu, orang ramai diseru supaya mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih hanya melalui saluran rasmi PDRM,” katanya. – UTUSAN










