PPIM mahu aset scammer dibeku, dirampas

PPIM mahu aset scammer dibeku, dirampas

NADZIM JOHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan membekukan dan merampas aset serta harta yang diperoleh melalui kegiatan penipuan dalam talian perlu diperkasa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

 

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan berkata, langkah itu penting bagi memastikan sindiket penipuan bukan sahaja dihukum, malah hasil kegiatan jenayah mereka turut dilucutkan.

 

Katanya, sudah tiba masanya undang-undang negara dikemas kini bagi memastikan peruntukan sedia ada seiring kecanggihan taktik sindiket yang semakin berani memperdaya mangsa.

 

Menurut beliau, hukuman lebih berat perlu dikenakan kerana kes penipuan dalam talian bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, malah memberi kesan besar kepada kehidupan mangsa dan keluarga.

 

“Masyarakat tidak seharusnya terus menyaksikan mangsa menanggung kerugian besar, sedangkan penjenayah masih bebas menjalankan operasi tanpa rasa takut,” katanya dalam kenyataan.

 

Nadzim berkata, PPIM turut menyokong cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail supaya undang-undang berkaitan jenayah penipuan dalam talian dipinda bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap scammer.

 

Katanya, hukuman sebat dan penjara maksimum wajar dipertimbangkan sebagai langkah pencegahan terhadap sindiket yang semakin berani dan tersusun.

 

“PPIM menyokong usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa cadangan pindaan akta berkaitan ke peringkat kementerian.

 

“Kami turut senada dengan cadangan mengenakan hukuman sebat dan penjara maksimum terhadap sindiket scammer memandangkan jenayah kolar putih ini mendatangkan kerosakan teruk yang menyamai jenayah berat,” katanya.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, kawalan terhadap institusi kewangan dan platform digital juga perlu diperketat bagi memutuskan rantaian operasi sindiket.

 

Katanya, tindakan lebih agresif perlu merangkumi pengesanan aliran wang, pembekuan akaun mencurigakan dan pelucuthakan aset yang mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan.

 

Beliau menyeru kerajaan, pihak berkuasa dan penggubal undang-undang memperkukuh kerjasama bagi melindungi harta rakyat serta memastikan jenayah penipuan tidak terus menjadi industri menguntungkan kepada sindiket. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×