JOHOR BAHRU: Penantian 171 mangsa pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang tujuh tahun lalu akhirnya mendapat pembelaan apabila Mahkamah Tinggi Sivil di sini hari ini membuat keputusan memihak mereka, sekaligus memerintahkan empat defendan membayar kos guaman.
Hakim, Manira Mohd. Nor memerintah kilang memproses tayar terpakai, P. Tech Resources Sdn. Bhd.; dua pengarah syarikat warga Singapura serta pemandu lori, N. Maridass membayar kos berjumlah RM100,000 kepada semua plaintif.
Bagaimanapun, mahkamah turut mengenepikan saman plaintif terhadap lapan pihak lain antaranya kerajaan, bekas Menteri Besar, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan juga Majlis Perbandaran Pasir Gudang (kini Majlis Bandaraya Pasir Gudang).
Pada masa sama, mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos guaman berjumlah RM80,000 kepada pihak-pihak yang telah diketepikan saman terhadap mereka.
Peguam mewakili kesemua plaintif, Datuk Kamarudin Ahmad berkata, pihaknya berpuas hati dengan penghakiman tersebut yang sekaligus menggambarkan kepentingan terhadap isu alam sekitar.
“Keputusan ini akan memastikan kilang selepas ini tidak lagi sewenang-wenangnya membuang sisa toksik ke dalam sungai. Ia juga bagi mengekang kontraktor serta pemandu lori tidak bertauliah menguruskan sisa toksik tanpa mengikut prosedur.
“Keputusan ini baharu permulaan, selepas ini kita akan menunggu tarikh pengurusan kes bagi mentaksir jumlah ganti rugi yang dituntut mangsa-mangsa. Ini melibatkan tuntutan RM30 juta oleh 42 plaintif terdiri daripada pelajar dan orang awam, serta tuntutan RM3 juta daripada 129 nelayan,” katanya.
Sementara itu, Idham Wazir A Wahab, 56, berkata, keputusan itu memberikan kelegaan terhadap keluarganya serta mangsa-mangsa lain yang terjejas dengan insiden berkenaan.
“Alhamdulillah, selepas tujuh tahun akhirnya kes ini selesai. Namun, saya terkilan pihak yang berkuasa tidak dipertanggungjawabkan. Mereka mempunyai tanggungjawab terhadap aspek alam sekitar di Pasir Gudang,” katanya.
Bapa kepada Irfan Wafiy, 19, yang disahkan menghidap Myokymia turut memberitahu anaknya kini boleh berjalan tanpa menggunakan tongkat tetapi masih tidak boleh melakukan aktiviti lasak.
“Dia kini sudah menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi dan berharap untuk menjadi seorang doktor perubatan pada masa depan,” katanya.
Pada Mac 2019, insiden pencemaran itu telah menggemparkan negara dan menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam sehingga menyebabkan 111 buah sekolah di sekitar Pasir Gudang ditutup.-UTUSAN










