PETALING JAYA: Kerajaan digesa menyemak segera aspek keselamatan, kebajikan dan perlindungan petugas Kementerian Kesihatan yang terlibat dalam perkhidmatan doktor udara (Flying Doctor Service (FDS)).
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, cadangan tersebut dibuat susulan nahas helikopter di Sarawak yang mengorbankan juruterbang dan empat petugas kesihatan.
Malah katanya, insiden berkenaan perlu dijadikan peringatan untuk kerajaan menilai sama ada sistem perlindungan sedia ada benar-benar setimpal dengan risiko yang ditanggung petugas FDS.
“Antara perkara yang perlu diberi perhatian segera ialah Bayaran Insentif Perkhidmatan Kesihatan Udara sebanyak RM30 bagi satu penerbangan pergi balik yang diperkenalkan sejak 1978.
“Selepas hampir lima dekad, kita perlu bertanya sama ada RM30 masih munasabah untuk petugas kesihatan yang menjalankan amanah dalam persekitaran penerbangan dan kawasan pedalaman yang mempunyai risiko tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Jais berkata, kerajaan juga perlu menyemak kadar insentif berkenaan termasuk elaun tugas berisiko lain yang telah lama tidak dikaji.
Katanya, setiap petugas sepatutnya diberi perlindungan insurans atau kemalangan khusus serta pampasan yang mencukupi kepada keluarga sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
“Latihan keselamatan penerbangan dan tindak balas kecemasan juga perlu diwajibkan kepada semua petugas FDS,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, satu audit bebas dan menyeluruh terhadap tadbir urus FDS perlu dilaksanakan bagi memastikan aspek keselamatan dan pengurusan risiko perkhidmatan itu sentiasa diberi keutamaan.
Katanya, audit tersebut perlu merangkumi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan, pengurusan risiko, kelayakan dan penyelenggaraan pesawat, peralatan keselamatan serta pematuhan kontraktor.
“Jangan tunggu tragedi seterusnya untuk melakukan pembaharuan. Petugas kesihatan menjaga nyawa rakyat. Negara pula mempunyai tanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan mereka,” katanya.-UTUSAN










