KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim selesai membayar wang ikat jaminan RM450,000 sekitar pukul 2 petang tadi.
Difahamkan, dua individu yang bertindak sebagai penjamin adalah ahli keluarganya.
Abdul Azeez, 60, yang memakai baju lokap polis berwarna ungu dilihat diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan anggota polis ketika urusan ikan jamin diselesaikan.
Beliau dilihat hanya mengangguk sambil tersenyum ketika ditanya mengenai keadaannya.
Bagaimanapun, selepas selesai urusan tersebut, bekas Ahli Parlimen Baling itu diserahkan semula kepada pihak polis untuk dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Abdul Azeez sebelum itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan jawatan di sebuah syarikat dan manfaatnya serta meyakinkan Ahli Lembaga TH membuat pelaburan RM193.5 juta di syarikat sama.
Sebelum itu, Abdul Azeez direman dua hari bermula hari ini selepas permohonan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes tipu berkait pemberian hibah TH.
Dia turut ditahan reman bersama dua lagi individu iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH dan bekas Ketua Pegawai Kewangannya.- UTUSAN










