PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membongkar kegiatan memproses minuman keras secara haram dalam operasi di sekitar Lembah Klang, dengan rampasan barangan tidak berkastam (tidak bayar cukai) bernilai keseluruhan RM1.95 juta.
Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, kegiatan itu dikesan menerusi Ops Akur yang dijalankan dari 10 hingga 14 Ogos lalu, membabitkan serbuan ke atas 35 premis di sekitar ibu negara.
Menurut beliau, pihaknya menemukan kegiatan memproses minuman keras menggunakan bahan termasuk etanol dan perasa sebelum dibotolkan menggunakan mesin.
“Bahan-bahan itu dicampurkan sebelum dimasukkan ke dalam botol menggunakan mesin pembotolan yang ditemukan di lokasi.
“Proses itu dilakukan dalam kuantiti yang banyak dan enam pekerja lelaki warga Myanmar ditahan di tempat pemprosesan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.
Wan Norizan berkata, pihaknya belum dapat memastikan sama ada minuman keras berkenaan adalah produk tiruan dan sedang menunggu keputusan analisis Jabatan Kimia.
Katanya, JKDM turut berhubung dengan pengilang sah bagi memastikan sama ada minuman keras yang dirampas adalah produk keluaran mereka.
“Dari segi keselamatan dan kesihatan, apabila ia dibawa masuk atau dibotolkan semula secara haram, kita tidak dapat memastikan kandungannya.
“Jika diambil oleh pengguna, ia boleh memberi kesan kepada kesihatan. Sampel sudah dihantar ke Jabatan Kimia dan kita sedang menunggu laporan,” katanya.
Wan Norizan berkata, Ops Akur memfokuskan penguatkuasaan Lesen Rumah Awam (LRA) serta pemantauan penjualan minuman keras tidak bercukai di sekitar Lembah Klang, termasuk pemeriksaan di pusat hiburan, kelab malam dan stor yang disyaki digunakan untuk menyimpan serta memproses minuman keras secara tidak sah.
Jelasnya, modus operandi dikesan ialah menyimpan bekalan minuman keras di premis berasingan bagi mengelakkan pengesanan ketika pemeriksaan penguat kuasa, selain menawarkannya pada harga lebih rendah daripada pasaran bagi menarik pelanggan.
Katanya, barangan bernilai RM421,504.16 dirampas dengan anggaran duti dan cukai RM922,112.64, menjadikan jumlah keseluruhan RM1.34 juta.
“Sebanyak 20 kertas siasatan dibuka dan seramai 21 individu ditahan terdiri daripada 12 warga Malaysia, enam Myanmar dan tiga Indonesia.
“Kes Ops Akur yang membabitkan aktiviti penyulingan, penapaian atau pengilangan barang berduti secara tidak sah disiasat mengikut Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976,” katanya.
Sementara itu, menurutnya, Ops Tembok Besar yang dijalankan dari 27 hingga 31 Julai lalu menyasarkan penyimpanan dan penjualan rokok, minuman keras serta barangan berduti tinggi yang tidak berkastam (tidak bayar cukai).
Dalam operasi itu, katanya, JKDM mengesan taktik memasarkan barangan tidak bercukai menerusi restoran dan kedai runcit biasa kepada pelanggan yang dikenali sahaja.
Ops Tembok Besar menghasilkan rampasan bernilai RM256,121.62 dengan anggaran duti dan cukai RM350,936.54, menjadikan jumlah keseluruhan RM607,058.16.
“Sebanyak 18 kertas siasatan dibuka dan 14 individu ditahan terdiri daripada lima warga tempatan, empat warga China, tiga warga India dan dua orang Indonesia berusia lingkungan 20-an hingga 50-an.
Wan Norizan berkata, secara keseluruhan, kedua-dua operasi menyaksikan barangan bernilai RM677,625.78 dirampas dengan anggaran duti dan cukai RM1.27 juta, menjadikan nilai keseluruhan rampasan serta duti dan cukai RM1.95 juta.
“Kes membabitkan penyimpanan atau pemilikan barang tidak berkastam (tidak bayar cukai) atau barang larangan import disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – UTUSAN










