Bayar jamin RM450,000, Azeez Rahim masih dalam tahanan sehingga esok

Bayar jamin RM450,000, Azeez Rahim masih dalam tahanan sehingga esok

PEGUAM, Datuk Abu Bakar Isa Ramat (tengah) dan Datuk Amer Hamzah Arshad (kanan) mewakili bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim selepas prosiding pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan jawatan di sebuah syarikat dan manfaatnya serta meyakinkan Ahli Lembaga TH membuat pelaburan RM193.5 juta di syarikat sama. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kekal dalam tahanan polis sehingga esok walaupun Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan ikat jamin RM450,000.

Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, perintah reman yang dikeluarkan sebelum ini masih berkuat kuasa dan perlu dipatuhi sehingga tempoh tersebut berakhir.

“Secara teknikalnya, ya, kerana perintah reman masih berkuat kuasa dan ia perlu dipatuhi.

“Dia masih berada dalam tahanan polis sehingga tempoh reman tamat. Selepas itu, dia boleh dibebaskan,” katanya ketika sidang akhbar selepas prosiding.

Terdahulu, Abdul Azeez, 60, direman dua hari bermula hari ini selepas permohonan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes tipu berkait pemberian hibah TH.

Tambah Amer Hamzah, ketika ini, penjamin juga sedang menguruskan proses jaminan supaya urusan pembebasan dapat dilakukan segera sebaik sahaja selesai tempoh reman.

“Kami akan selesaikan urusan jaminan hari ini kerana tidak mahu berlaku sebarang kelewatan. Sekiranya dia dibebaskan lebih awal daripada reman polis, dia boleh terus pulang,” katanya.

Ditanya keadaan anak guamnya, beliau berkata, bekas Ahli Parlimen Baling itu berada dalam keadaan baik walaupun kecewa dengan beberapa dakwaan yang disifatkannya sebagai tidak benar.

“Dia bertekad untuk membersihkan namanya. Pasukan peguam juga bersedia meneliti perkara ini dan mempertahankan dirinya,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan jawatan di sebuah syarikat dan manfaatnya serta meyakinkan Ahli Lembaga TH membuat pelaburan RM193.5 juta di syarikat sama. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×