PETALING JAYA: Jenama teh antarabangsa popular, Chagee mengumumkan kolaborasi khas bersama karya klasik kesayangan ramai, The Little Prince menerusi pelancaran Siri Matcha edisi terhad bermula 4 September ini di seluruh negara.
Kerjasama strategik itu diilhamkan daripada mesej kesucian, kesederhanaan, serta keindahan The Little Prince bagi memberikan peringatan ringkas kepada pelanggan untuk menghargai setiap detik harian yang bermakna.
Pengurus Besar Chagee Malaysia, Eason Fang berkata, nilai kesederhanaan dan keaslian yang dibawakan oleh karya novel berkenaan bergerak sejajar dengan komitmen syarikat dalam mengekalkan keaslian rasa teh berkualiti tinggi.
“Kami mahu mengekalkan kelazatan sebenar matcha dan menitikberatkan proses penyediaan bagi menyerlahkan karakter semula jadinya dalam setiap cawan yang dihidangkan kepada pelanggan.
“Penghargaan terhadap kesederhanaan dan keaslian yang sama inilah yang menjadikan The Little Prince sangat sesuai untuk kolaborasi ini bagi membawa kegembiraan kepada penggemar teh,” katanya dalam kenyataan.
Syarikat berkata, ramuan matcha dalam siri edisi terhad ini dihasilkan daripada petikan daun muda tuaian musim bunga pertama yang ditanam di bawah teduhan selama lebih 20 hari sebelum dituai.
“Proses pendedahan cahaya matahari yang terhad membolehkan daun matcha berkembang perlahan-lahan untuk memekatkan warna hijau semula jadi serta membentuk tekstur rasa yang kaya dan penuh.
“Bagi memastikan tekstur yang lembut tanpa rasa berpasir, daun berkenaan dikisar halus menjadi serbuk bersaiz 1000 mesh bagi menyerlahkan kenikmatan rasa yang segar dan bersih dalam setiap hirupan,” katanya.
Pelancaran ini turut memperkenalkan variasi baharu Lime Cheese Matcha Latte yang menggabungkan rasa matcha halus, keharuman limau dan pilihan Cheese Cap berkrim bagi memberi kelainan kepada Siri Matcha sedia ada.
Selain penawaran minuman, kolaborasi berkenaan meluas menerusi rekaan khas kedai, cawan, barangan eksklusif, serta penganjuran aktiviti interaktif Journey of the Heart pada 21 hingga 27 September ini di Pavilion Kuala Lumpur. – UTUSAN










