Pemuda 26 tahun didakwa bunuh remaja, rempuh guna Toyota Vellfire - Utusan Malaysia

Pemuda 26 tahun didakwa bunuh remaja, rempuh guna Toyota Vellfire

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Pemandu Toyota Vellfire yang merempuh seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Bulatan Persiaran Indahpura 4, di sini hujung bulan lalu berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Tertuduh, Choo De Hui, 26, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, R. Salini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, De Hui didakwa telah menyebabkan kematian ke atas seorang remaja 17 tahun di Bulatan Persiaran Indahpura 4, antara pukul 12.20 tengah malam hingga 12.33 tengah malam, 25 Ogos lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pejara maksimum 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, De Hui turut didakwa atas empat pertuduhan cubaan membunuh dengan niat ke atas empat mangsa lain berusia antara 15 hingga 20 tahun pada tarikh dan waktu sama di Jalan Kiambang 9 dan Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukum penjara maksimum 10 tahun dan hendaklah dikenakan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada mana-mana orang, hendaklah dipenjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Weng Hong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 2 Disember depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Sementara itu, di mahkamah sama, empat remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan niat sepakat, sengaja melakukan khianat dengan cara memecahkan cermin belakang dan hadapan sebelah kiri sebuah Perodua Myvi.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada tarikh sama kira-kira pukul 12.33 tengah malam di bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai sehingga menyebabkan kerugian terhadap Lai Yun Zhe Jeff, 20.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan melakukan khianat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kemudian memohon mahkamah mengenakan jaminan RM3,000 bagi setiap tertuduh, manakala peguam mewakili empat tertuduh berkenaan, iaitu K. C. Lim memohon agar jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,500 setiap seorang dengan seorang penjamin serta perlu dibayar oleh ibu bapa atau penjaga sahaja.

Salini turut menetapkan tarikh 28 Oktober untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pada 25 Ogos lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, seorang remaja berusia 17 tahun maut selepas dipercayai tercampak keluar daripada sebuah Perodua Myvi sebelum dilanggar Toyota Vellfire.

Beliau dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik antara dua kumpulan kongsi gelap yang aktif di sekitar Johor Bahru.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×