Andy Teh bintangi filem Hong Kong, kuasai bahasa Kantonis selama satu bulan - Utusan Malaysia

Andy Teh bintangi filem Hong Kong, kuasai bahasa Kantonis selama satu bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pelakon, Andy Teh berdepan jalan sukar untuk melakonkan watak Koh dalam filem usaha sama Malaysia dan Hong Kong, Golden Blessing disebabkan ketidakfasihannya berbahasa Kantonis yang merupakan bahasa pengantar dalam filem bergenre komedi itu.

Walaubagaimanapun, Andy yang tidak mudah mengaku kalah, berusaha gigih bagi memastikan bahasa tersebut, dikuasainya dalam tempoh singkat.

“Saya tidak fasih berbahasa Kantonis, pernah beberapa kali dikecewakan pengarah Hong Kong kerana perkara tersebut. Dan apabila mendapat peluang berlakon dalam filem ini, saya berusaha untuk melancarkan pertuturan dalam bahasa tersebut, lebih daripada apa yang saya lakukan dalam filem Black Ops.

“Saya diberikan skrip dalam dua bahasa, Inggeris dan kantonis. Disebabkan saya tidak boleh membaca dalam bahasa Kantonis, skrip bahasa Inggeris itulah membantu saya memahami watak dan jalan cerita.

“Bahasa Kantonis di Malaysia berbeza dengan Hong Kong. Dalam proses menguasainya, saya meminta rakan untuk mentejermah dan kemudian, saya tulis semula dalam perkataan pinyin. Kemudian saya minta sahabat saya untuk menuturkannya supaya saya dapat rakam dan dengar semula setiap hari dalam masa sebulan.

“Saya bekerja keras untuk menguasai bahasa Kantonis yang ditutur masyarakat Hong Kong. Saya rasa sangat lega kerana dapat menghidupkan watak itu dengan sebaiknya,” katanya dalam sidang media filem berkenaan di Lexis Hibiscus, Port Dickson.

Golden Blessing, merupakan filem usahasama Malaysia dan Hong Kong yang lokasi penggambarannya dilakukan sepenuhnya di Port Dickson.

Filem tersebut turut dibintangi pelakon Hong Kong popular seperti Owen Cheung Chun Long, Ruco Chan Chin Pang, Benjamin Yuen Wai Ho, Mandy Wong Chi Man, Kent Cheng Jak Si dan ramai lagi.

Andy memegang watak seorang pemegang peta yang bergabung dengan karakter lain untuk mencari harta karun yang terdapat di hotel tersebut.

Katanya, dia berasa cukup terharu kerana bukan sahaja diberikan peluang, tetapi juga usaha kerasnya dihargai pengarah yang melihat progress lakonannya dari semasa ke semasa.

“Ini pertama kali seorang pengarah, selepas babak penting dalam filem ini, datang dan memeluk saya sambil mengucapkan tahniah kerana berpandangan lakonan saya bertambah baik dari semasa ke semasa.

“Ini kerana pada hari pertama, saya gagap apabila diminta membaca skrip depan beliau. Saya merasakan seperti telah melaksanakan kerja yang baik sebagai pelakon Malaysia,” ujarnya.

Filem Golden Blessing bakal menjengah pawagam seluruh negara pada sambutan Tahun Baharu Cina 2027.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×