AS kenakan sekatan terhadap syarikat Iran, termasuk berpangkalan di Malaysia

AS kenakan sekatan terhadap syarikat Iran, termasuk berpangkalan di Malaysia

GAMBAR fail sebuah pesawat penumpang Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengenakan sekatan terhadap semua syarikat penerbangan Iran.

Syarikat-syarikat itu masih belum dikenakan sekatan ketika Washington berusaha meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Iran di tengah-tengah perang yang sedang berlangsung.

Jabatan Perbendaharaan AS berkata, tindakan terbaharunya itu menyasarkan 36 entiti kerana menyokong sektor penerbangan Iran, yang didakwa digunakan rejim tersebut untuk memindahkan senjata, anggota dan kargo haram.

Ini termasuk 27 syarikat penerbangan Iran, selain syarikat yang berpangkalan di negara seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Turkiye, Malaysia dan Kazakhstan.

“Pada dasarnya, kami sedang mengeluarkan keseluruhan sektor penerbangan ekonomi Iran daripada pasaran,” kata seorang pegawai Jabatan Perbendaharaan AS kepada pemberita dengan syarat tidak dinamakan.

Iran telah berperang dengan AS sejak akhir Februari, apabila serangan Amerika-Israel mengorbankan pemimpin tertinggi Republik Islam itu serta beberapa pegawai kanan tentera pada permulaan serangan besar-besaran.

Serangan tersebut mencetuskan tindak balas Teheran dengan menyekat Selat Hormuz  menyebabkan harga minyak dunia melonjak  ketika konflik merebak di Asia Barat.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, berikrar bahawa AS akan mengisytiharkan ‘Hari Penentuan Ekonomi” terhadap Iran, dengan berjanji untuk menyekat sumber kewangan negara tersebut.

“Di bawah Operasi Economic Outcast, kami telah berjanji untuk mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang menyediakan sokongan kewangan kepada rejim Iran,” kata Bessent.

Beliau memberi amaran mana-mana pihak yang menjalankan urusan dengan syarikat penerbangan Iran yang masih beroperasi berdepan risiko disekat daripada sistem kewangan global.

Selain syarikat penerbangan Iran, Jabatan Perbendaharaan AS berkata, tindakan terbaharunya turut menyasarkan firma di negara ketiga yang memudahkan aktiviti Mahan Air yang dikenakan sekatan AS, operasi penerbangan yang mempunyai kaitan dengan keganasan serta pemerolehan haram pesawat buatan AS.

Jabatan itu turut menyasarkan penyedia perkhidmatan kargo dan ejen jualan am yang mengendalikan penerbangan antarabangsa Mahan Air.

Mahan Air ialah syarikat penerbangan Iran yang didakwa membantu melancarkan aktiviti Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Pegawai Jabatan Perbendaharaan AS itu tidak menjelaskan sama ada firma di negara seperti China mungkin dikenakan sekatan sekunder kerana menyokong sektor penerbangan Iran, namun berkata, Washington mempunyai pelbagai pilihan tindakan terhadap penyedia perkhidmatan.

Pada Julai, Jabatan Perbendaharaan turut mengenakan sekatan terhadap individu dan syarikat yang didakwa membantu Mahan Air.

Sektor penerbangan Iran telah lama berdepan kesukaran akibat sekatan, yang mengehadkan dengan ketara keupayaan negara itu untuk mendapatkan pesawat, alat ganti dan perkhidmatan penyelenggaraan.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×