HAVANA: Cuba menegaskan tiada rundingan sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat (AS) ketika pentadbiran Presiden Donald Trump meneruskan tekanan ekonomi terhadap negara itu.
Menteri Luar Cuba, Bruno Rodriguez berkata, Havana dan Washington tidak mengadakan rundingan serta tiada agenda untuk meneruskan perbincangan pada masa depan.
Beliau berkata demikian dalam sidang media kelmarin ketika mengumumkan anggaran terbaharu mengenai kesan sekatan ekonomi AS yang dikenakan terhadap Cuba sejak revolusi komunis pimpinan bekas pemimpin Fidel Castro pada 1959.
Menurut kerajaan Cuba, sekatan berkenaan menyebabkan ekonominya mengalami kerugian AS$8 bilion (RM32 bilion) antara Mac 2025 hingga Februari 2026.
Jumlah itu merupakan angka kerugian tertinggi yang pernah direkodkan dan meningkat tujuh peratus berbanding tempoh laporan sebelumnya.
Rodriguez berkata, angka berkenaan tidak melibatkan beberapa sekatan terbaharu yang dikenakan Washington, termasuk terhadap bekalan tenaga Cuba pada Januari dan sekatan sekunder yang diperkenalkan Mei lalu.
Dalam hantaran di platform X, Rodriguez menyifatkan dasar itu sebagai ‘kelemahan ekonomi’ dan mendakwa sekatan AS yang telah lama menyebabkan kekurangan bekalan serta masalah ekonomi di Cuba sebagai tindakan ‘genosid’.
“Sudah berbulan-bulan rakyat hanya mendapat bekalan elektrik selama dua atau tiga jam sehari atau kurang,” katanya sambil menggambarkan kesan buruk krisis tenaga yang meruncing terhadap rakyat Cuba. – AGENSI










