Warga emas maut dilanggar kereta berhampiran kawasan parkir

Warga emas maut dilanggar kereta berhampiran kawasan parkir

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang warga emas berusia 81 tahun maut selepas dipercayai dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu laju berhampiran kawasan parkir di Blok 42, Flat Desa Green, Solok Slim di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.20 petang ketika mangsa yang juga seorang wanita tempatan baru sahaja melangkah keluar dari sebuah kenderaan e-hailing (GrabCar) sebelum berjalan menuju ke blok kediamannya di situ.

“Bagaimanapun, ketika sedang berjalan tidak jauh dari kawasan parkir tersebut, mangsa dikatakan tersadung sebelum terjatuh di atas jalan.

“Secara kebetulan, sebuah kenderaan yang disyaki kereta bergerak lurus ke arah mangsa dan merempuh wanita terbabit. Pemandu kereta tersebut juga dikatakan tidak berhenti selepas kejadian, sebaliknya, terus beredar dari lokasi,” katanya di sini, hari ini.

Abdul Rozak berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira pukul 2.48 petang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis kini sedang mengesan pemandu kenderaan yang terlibat. Pada masa yang sama, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Irwandy Hamled di talian 013-515 5656 bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×