KUALA LUMPUR: Pentas baharu buat bakat muda sepak takraw negara dibuka menerusi Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 yang menawarkan hadiah keseluruhan RM60,000.
Liga anjuran bersama McDonald’s Malaysia dan Harian Metro itu menghimpunkan pemain berusia 16 tahun dan ke bawah menerusi tiga saingan zon sebelum kemuncak kebangsaan di Kuala Lumpur pada November.
Saingan bermula di Seremban, Negeri Sembilan dari 9 hingga 11 Oktober, diikuti Sungai Petani, Kedah (16-17 Oktober) dan Gong Badak, Terengganu (20-21 November), sebelum pentas akhir berlangsung di Akademi Sepaktakraw Malaysia pada 28 dan 29 November.
Dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), liga itu menjadi platform penting buat pemain pelapis menimba pengalaman pertandingan dan mendapat pendedahan lebih luas.
Liga berkenaan dilancarkan secara rasmi di McDonald’s Pantai Sentral Park oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, dengan turut dihadiri barisan pimpinan McDonald’s Malaysia, PSM dan Media Prima Berhad.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, penganjuran liga itu membuktikan komitmen pihaknya menyediakan ruang lebih luas kepada golongan muda untuk membina keyakinan, disiplin dan semangat berpasukan menerusi sukan.
“Melalui liga ini, kami mahu membantu menyediakan satu lagi platform untuk pemain muda memperoleh pengalaman bertanding serta pendedahan yang lebih luas.
“Sepak takraw merupakan sukan yang dekat dengan masyarakat Malaysia dan kami percaya kekuatan rangkaian serta komuniti McDonald’s boleh dimanfaatkan untuk membawa lebih banyak perhatian kepada sukan ini serta pemain yang terlibat,” katanya.
Penganjuran liga itu hadir ketika sepak takraw negara berada dalam momentum positif selepas kerajaan mengumumkan komitmen RM3 juta pada April lalu bagi memperkukuh pembangunan sukan berkenaan, termasuk RM1 juta menerusi Geran Padanan Sukan untuk Piala Dunia Sepak Takraw 2026 dan RM2 juta bagi PSM, kebajikan pemain serta pembangunan akademi.
Selain pertandingan, program itu turut menampilkan klinik sepak takraw pada 26 November di Akademi Sepaktakraw Malaysia serta aktiviti komuniti dan mini karnival di Seremban, Amanjaya dan Batu Buruk, dengan pendaftaran pemain 16 tahun dan ke bawah dibuka sekurang-kurangnya dua minggu sebelum setiap saingan zon. – UTUSAN










