PETALING JAYA: Beberapa dokumen termasuk minit mesyuarat Lembaga Pengarah (BOD) membabitkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedang diteliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap badan berkanun itu.
Menurut sumber, penelitian tersebut antara lain bagi menentukan sama ada keputusan berkaitan pelantikan syarikat pemaju serta penjualan tanah milik badan berkanun itu dibuat mengikut prosedur dan bidang kuasa yang ditetapkan.
Katanya, ia termasuk sama ada terdapat sebarang kelulusan daripada pihak Menteri diperlukan dan telah diperoleh pada ketika keputusan itu dibuat.
“Siasatan turut melihat proses kelulusan yang berlaku ketika itu termasuk sama ada perkara berkenaan telah dibawa kepada pihak yang sepatutnya untuk mendapatkan kelulusan.
“SPRM juga sedang meneliti sama ada Ahli Lembaga Pengarah telah diberikan maklumat yang lengkap dan tepat sebelum sesuatu keputusan dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut sumber, aspek yang turut diberi perhatian ialah kemungkinan berlaku perbuatan mengelirukan BOD selain terdapat dokumen atau rekod berkaitan transaksi berkenaan yang telah diubah, dimanipulasi bagi mempengaruhi proses membuat keputusan.
“SPRM akan lihat jika ada maklumat dimanipulasi oleh individu tertentu yang mempunyai kepentingan dalam urusan berkenaan,” katanya.
Semalam, dua individu termasuk seorang bekas pengarah besar bergelar ‘Datuk’ direman kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah berhubung isu penjualan tanah milik Felda.
Siasatan mendapati suspek dipercayai terbabit dalam salah guna kuasa bagi pelantikan sebuah syarikat pemaju untuk projek pembangunan di Kuala Lumpur.
Kedua-dua individu berkenaan turut disyaki mempunyai kaitan dengan urusan penjualan tanah milik badan berkanun itu kepada sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dengan syarikat pemaju.
Urusan penjualan tanah berkenaan dipercayai dilakukan tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah dan anak syarikat badan berkanun terbabit.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – UTUSAN










