LONDON: Legenda England, Alan Shearer percaya hanya Manchester City dan Chelsea mampu menghalang Arsenal daripada mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Skuad kendalian Mikel Arteta meneruskan permulaan sempurna dengan menewaskan Chelsea 2-1 pada Ahad lalu, sekali gus mengukuhkan keyakinan Shearer terhadap peluang Arsenal.
Arsenal dan City kini berkongsi sembilan mata daripada tiga perlawanan, manakala pendatang baharu Hull City di tangga ketiga, diikuti Chelsea, Brentford, Liverpool dan Newcastle United.
Shearer yang memilih Arsenal sebagai calon juara sebelum musim bermula berkata, prestasi setakat ini hanya mengukuhkan keyakinannya terhadap kemampuan The Gunners mempertahankan kejuaraan.
“Mereka sangat, sangat mengagumkan. Saya benar-benar kagum dengan persembahan dan reaksi mereka selepas ketinggalan.
“Barisan pertahanan mereka sangat bagus dan apabila anda melepasi bahagian tengah, anda berdepan empat pertahanan yang tersusun, selain penjaga gol yang cemerlang,” katanya.
Shearer turut menolak peluang Liverpool dan Manchester United dalam perebutan kejuaraan, sambil menyifatkan Chelsea dan City sebagai pencabar utama Arsenal, dengan City menjadi pilihannya.
“Chelsea dan City. Saya mungkin memilih City. Manchester United tidak cukup bagus dari segi pertahanan untuk mencabar pasukan yang sudah kami sebutkan,” katanya. – AGENSI










