PETALING JAYA: DAP menggesa peruntukan pembangunan kawasan diberikan secara sama rata kepada semua wakil rakyat tanpa mengira latar belakang parti politik yang diwakili.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, perkara itu antara ketetapan yang dibuat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti berkenaan susulan Persidangan Kebangsaan DAP.
Beliau berkata, CEC turut meminta Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menggubal Enakmen Dana Pembangunan Kawasan bagi menjamin layanan adil dan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu.
“Ini bagi menjamin layanan yang adil dan sama rata kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, tanpa mengira parti politik yang diwakili, supaya pemberian peruntukan pembangunan kawasan secara sama rata dapat dijamin melalui perundangan.
“CEC berpandangan bahawa prinsip yang sama wajar diperluaskan ke peringkat Persekutuan serta dilaksanakan oleh semua kerajaan negeri di seluruh negara.
“Peruntukan pembangunan kawasan harus diberikan secara sama rata tanpa mengira latar belakang parti politik wakil rakyat yang dipilih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Siew Fook berkata, CEC turut membincangkan keputusan Persidangan Kebangsaan DAP berhubung usul yang diluluskan perwakilan untuk memberikan mandat kepada kepimpinan parti supaya kekal dalam Kerajaan Persekutuan Madani sehingga berakhirnya tempoh Parlimen ini.
“CEC menghormati keputusan yang telah dibuat oleh para perwakilan dan bertekad untuk melaksanakan mandat tersebut dengan penuh tanggungjawab,” katanya.
Katanya, CEC berpandangan dua agenda reformasi penting yang melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, iaitu pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta penetapan had tempoh jawatan Perdana Menteri, wajar dibahaskan dan diputuskan di Parlimen pada persidangan akan datang pada Oktober. – UTUSAN










