PETALING JAYA: Kumpulan legenda Indonesia, Ungu membuktikan popularitinya masih utuh apabila hampir 4,000 peminat memenuhi Idea Live Arena Kuala Lumpur, menerusi konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Konsert sempena ulang tahun ke-30 kumpulan itu dibawakan oleh COMs. Creative Studio dan DM Diamond Entertainment, sekali gus menjadi medan buat Ungu meraikan tiga dekad perjalanan muzik bersama peminat di Malaysia.
Sepanjang persembahan, peminat dilihat begitu teruja apabila menyanyikan hampir setiap bait lagu selain turut menghayati deretan karya yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Menurut Pasya Ungu, sambutan tersebut membuktikan perjalanan tiga dekad kumpulan berkenaan bukan sekadar mengenai pencapaian, sebaliknya hubungan yang terjalin bersama peminat.
“Tiga puluh tahun adalah perjalanan yang sangat panjang. Ada banyak cerita, cabaran dan kenangan yang kami lalui.
“Namun, apabila kami melihat peminat di Kuala Lumpur masih menyanyikan lagu-lagu kami bersama-sama, kami rasa sangat bersyukur. Mereka adalah sebahagian daripada perjalanan Ungu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Malam tersebut turut menyaksikan Ungu menghiburkan peminat menerusi karya-karya popular mereka, termasuk Cindai hingga Seperti Mati Lampu, yang terus mendapat sambutan penonton.
Katanya, kehadiran hampir 4,000 peminat membuktikan karya Ungu masih dekat di hati peminat meskipun sudah tiga dekad mewarnai industri muzik.
“Hampir 4,000 penonton hadir bukan sekadar untuk menyaksikan persembahan, tetapi untuk meraikan setiap lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada kisah hidup mereka,” katanya.
Konsert tersebut sekali gus menjadi bukti perjalanan tiga dekad Ungu terus mendapat tempat dalam kalangan peminat, selain menghubungkan karya kumpulan itu dengan generasi berbeza.










