IPOH: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak meluluskan sebulat suara Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) 2026.
RUU berkenaan dibentangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum dibahaskan Ong Boon Piow (PH-Bercham) selaku penyokong usul dan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik) mewakili pembangkang.
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid mengumumkan RUU itu diluluskan bagi bacaan kali kedua dan ketiga selepas mendapat persetujuan semua ADUN.
Ketika membentangkan RUU berkenaan, Saarani berkata, penggubalan enakmen baharu itu bertujuan memodenkan, menyusun semula dan memperkemas peruntukan undang-undang berkaitan saraan Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri.
Menurutnya, enakmen sedia ada telah berkuat kuasa sejak 1980 dan melalui 13 kali pindaan, justeru kerajaan negeri berpandangan sudah tiba masanya ia diteliti secara menyeluruh supaya susunan, tafsiran dan peruntukannya lebih jelas, teratur serta selaras dengan kaedah penggubalan undang-undang semasa.
“Secara keseluruhannya, penggubalan RUU ini bukanlah bertujuan untuk mengubah keseluruhan dasar dan kerangka saraan yang sedia ada.
“Sebaliknya, sebahagian besar penambahbaikan yang dibuat bersifat pemodenan, penyusunan semula dan penjelasan peruntukan undang-undang, di samping beberapa pindaan tertentu bagi memenuhi keperluan semasa,” katanya semasa membentangkan RUU itu di sini hari ini.
Saarani berkata, proses semakan bermula pada 2025 menerusi beberapa siri bengkel dan perbincangan melibatkan pelbagai pihak termasuk ADUN kerajaan dan pembangkang serta dua bekas ADUN.
Katanya, antara penambahbaikan dipersetujui ialah menaikkan kadar maksimum pencen bulanan daripada 50 kepada 60 peratus daripada gaji selepas mengambil kira pandangan dikemukakan dalam sesi libat urus serta perbandingan dengan peruntukan di peringkat Parlimen dan beberapa negeri.
“Parlimen Malaysia, Pulau Pinang, Selangor dan Johor memperuntukkan kadar maksimum pencen sebanyak tiga perlima atau 60 peratus daripada gaji,” katanya.
Beliau berkata, penambahbaikan lain termasuk memasukkan jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negeri dalam tafsiran ‘Ahli’ serta mewujudkan peruntukan khusus berkaitan elaun Ketua Pembangkang.
Pada masa sama jelasnya, formula pengiraan pencen dan ganjaran di bawah enakmen terdahulu pada asasnya dikekalkan, manakala kadar faedah akibat kemalangan sedia ada turut tidak berubah.
Ketika menggulung perbahasan, Saarani berkata, penambahbaikan terhadap enakmen itu boleh terus diperhalusi dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
“Akan ada dari semasa ke semasa keperluan untuk kita membuat penambahbaikan. Yang paling penting kita dapat memperhalusinya dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN









