JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menegaskan kes salah guna kuasa berkaitan urusan permohonan lot tapak perumahan tidak melibatkan mana-mana pihak dalam pentadbiran kerajaan negeri Johor, sama ada dalam kalangan Exco atau mana-mana pegawai kerajaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, siasatan kes ini tidak melibatkan mana-mana pihak dalam pentadbiran kerajaan negeri Johor, sama ada dalam kalangan Exco atau mana-mana pegawai kerajaan negeri.
“Sehubungan itu, saya berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengaitkan kes ini dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan SPRM Johor telah menahan seorang pengerusi jawatankuasa perumahan sebuah badan berkanun di negeri ini kerana disyaki terlibat meminta dan menerima rasuah serta menyalahgunakan kuasa dengan memperdaya pemohon tanah kerajaan dalam urusan permohonan lot tapak perumahan.
Mengulas lanjut, Mohd. Jafni menegaskan kerajaan negeri tidak bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan, menipu rakyat atau menyalahguna kedudukan demi keuntungan peribadi.
Katanya, tanggungjawab dan amanah menyediakan perumahan rakyat tidak boleh dicemari oleh segelintir pihak yang sanggup mengaut keuntungan atas kesusahan orang ramai.
Pada masa sama, beliau mengesahkan kerajaan negeri komited mencapai sasaran menyiapkan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang hujung tahun ini.







