Pengguna Facebook kekal kena bayar RM250,000 kepada Mufti Perlis

Pengguna Facebook kekal kena bayar RM250,000 kepada Mufti Perlis

MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan seorang pemilik akaun Facebook untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM250,000 kepada Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin kerana memfitnah Mufti Perlis itu.

Pada 31 Julai lalu, perintah bayar ganti rugi itu dikeluarkan selepas mahkamah mendapati satu hantaran yang dibuat oleh Mohd Nawawi Abdul Razak, 39, yang didakwa mengaitkan Mohd. Asri dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dan memfitnah pendakwah itu.

Mahkamah turut mengarahkan pemilik akaun Facebook itu selaku defendan membayar kos sebanyak RM50,000.

Pesuruhjaya Kehakiman Rihaida Rafie membuat keputusan itu selepas meneliti afidavit dan mendengar hujahan kedua-dua pihak. Mohd. Nawawi memfailkan permohonan penggantungan perintah itu sementara menunggu pelupusan rayuan kes itu di Mahkamah Rayuan.

Pada prosiding hari ini, Rihaida turut menolak permohonan Mohd. Nawawi selaku defendan untuk menggantung perintah supaya hantaran berkenaan dipadam daripada akaun Facebook miliknya serta larangan untuk penerbitan semula.

“Mahkamah dengan ini hanya membenarkan penggantungan bagi sebahagian sahaja iaitu setakat perintah penerbitan permohonan maaf manakala penggantungan bagi bahagian-bahagian lain dalam penghakiman mahkamah tersebut adalah ditolak,” katanya.

Terdahulu, peguam, Dr. Mahmud Abdul Jumaat yang mewakili Mohd. Nawawi berhujah, terdapat keadaan khas yang mewajarkan pelaksanaan penghakiman itu digantung sementara menunggu rayuan antaranya kedudukan kewangan anak guamnya.

Katanya, bagi permohonan maaf, jika dibuat sebelum rayuan diputuskan, kesannya terhadap reputasi defendan tidak dapat dipulihkan sekiranya rayuan kemudian berjaya.

“Permohonan maaf itu adalah asas kepada tuntutan dalam kes ini. Sekiranya dibenarkan (permohonan maaf), reputasi defendan akan terjejas dan tidak boleh dikembalikan.

“Pembayaran (ganti rugi) juga perlu dibuat kerana pihak defendan dalam kes ini tiada kemampuan untuk membayar dan memerlukan masa untuk mendapatkan bantuan kewangan,” katanya.

Mendengar perkara itu, peguam Fatima Zulaikha Ahmad Bashri yang mewakili Mufti Perlis menghujahkan bahawa kesukaran kewangan semata-mata tidak boleh dianggap sebagai keadaan khas yang mewajarkan penggantungan pelaksanaan penghakiman.

Katanya, Mohd. Asri juga telah melalui proses perbicaraan penuh dan tidak sepatutnya dinafikan manfaat daripada penghakiman yang diperoleh hanya kerana pihak defendan memfailkan rayuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×