PH sudah bersedia dengan pelbagai senario jika kerjasama dengan BN tidak berjaya dimuktamadkan - Amirudin

PH sudah bersedia dengan pelbagai senario jika kerjasama dengan BN tidak berjaya dimuktamadkan – Amirudin

AMIRUDIN Shari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pakatan Harapan (PH) telah bersedia dengan pelbagai senario termasuk kemungkinan bertanding tanpa kerjasama Barisan Nasional (BN) jika rundingan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka gagal dimuktamadkan.

Pengarah Pilhan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini belum berlaku sebarang rundingan rasmi membabitkan pengagihan kerusi antara kedua-dua gabungan politik berkenaan.

Bagaimanapun, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pihaknya tidak akan menunggu terlalu lama memandangkan masa semakin suntuk sekiranya PRN Melaka diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kita bersedia dengan pelbagai situasi dan keadaan. Sama ada keadaannya seperti di Johor atau Negeri Sembilan, ataupun situasinya berbeza.

“Kalau bincang, kita bincang. Tetapi masa semakin suntuk, jadi kita akan sediakan beberapa senario untuk kita tangani,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran fasa pembinaan Taman Perindustrian Terurus Pertama di Malaysia di NCT Smart Industrial Park di Jalan Langat Lestari, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas status terkini rundingan kerjasama dengan BN bagi mendepani PRN Melaka.

Katanya, walaupun terdapat komunikasi antara pimpinan kedua-dua pihak, rundingan rasmi masih belum bermula.

Amirudin berkata, beliau mengesahkan perbincangan hanya dilakukan menerusi panggilan telefon namun, tiada kata putus dibuat ketika ini.

“Setakat hari ini belum (berunding dengan Ab Rauf), Kalau ada, kita ada. Kalau tidak ada, lawan tetap lawanlah.

“Jumpa dalam telefon, dalam talian sahaja. Tetapi negotiation belum berlaku. Mereka (BN) kata sedia berbincang, kita kata mari bincang, tetapi setakat ini tarikh dan masa pun belum ada,” katanya.

Mengulas kemungkinan PH bergerak secara solo, Amirudin menegaskan pilihan raya merupakan teras perjuangan sesebuah parti politik dan PH pasti akan bertanding.

“Worst case tak bertanding langsung, itu worst case. Tapi tak adalah. Pilihan raya adalah urusan utama sesebuah parti politik, jadi sudah tentu kami akan bertanding,”katanya.

Jelasnya lagi, PH akan mengadakan perbincangan dalam tempoh satu atau dua hari akan datang bagi menentukan langkah khusus menghadapi PRN Melaka.

“Rundingan pembahagian kerusi lazimnya boleh berlarutan sehingga menjelang hari penamaan calon namun PH bersedia mengambil langkah lebih awal sekiranya keadaan memerlukan.

“Seat negotiation ni akan selesai sampai esok nak nomination. Ha, itu biasanya. Tapi kalau dapat lebih awal, lebih awal tetapi PH akan membuat persediaan dalam pelbagai situasi dan keadaan,” katanya.

Mengulas laporan yang UMNO tidak menjemput PH ke Perhimpunan Agungnya, Amirudin berkata, perkara itu boleh dianggap sebagai situasi timbal balik kerana PH juga menjemput UMNO ke kongresnya.

Pada 25 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH berkata Amirudin diberi mandat untuk memperincikan bentuk kerjasama antara gabungan itu dengan BN, termasuk agihan kerusi pada PRN Melaka akan datang.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×