ANKARA: Turkiye akan meningkatkan perbelanjaan pertahanan sebanyak 229 peratus sebagai sebahagian usaha memperkukuh keupayaan teknologi dan pengeluaran industri pertahanannya.
Naib Presiden Turkiye, Cevdet Yilmaz, berkata negara itu mahu membangunkan teknologi pertahanan sendiri dan menghasilkan produk bernilai tambah tinggi.
“Dalam industri pertahanan, kami mahu Turkiye membangunkan teknologinya sendiri dan menghasilkan nilai tambah yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Ahad ketika membentangkan Program Jangka Sederhana (MTP) baharu negara itu yang menggariskan pelan hala tuju ekonomi bagi tempoh 2027 hingga 2029.
Dalam program berkenaan, unjuran pertumbuhan ekonomi Turkiye bagi 2026 disemak turun kepada 3.3 peratus, manakala jangkaan inflasi akhir tahun dinaikkan kepada 28.4 peratus.
Pertumbuhan ekonomi Turkiye disasarkan mencapai 4.2 peratus pada 2027, 4.6 peratus (2028) dan lima peratus (2029). Inflasi pula dijangka menurun secara berperingkat kepada 16 peratus pada 2027, sembilan peratus (2028) dan lapan peratus (2029).
Dalam pembentangan itu, Yilmaz berkata, kemajuan ketara dicapai dalam usaha menangani inflasi.
Katanya, kadar inflasi yang pernah mencecah 75.5 peratus pada Mei 2024 kini menunjukkan trend penurunan jelas susulan pelaksanaan pelbagai dasar.
Program yang dikemas kini itu menyasarkan kadar inflasi turun kepada 28.4 peratus menjelang akhir 2026. Ia turut mengunjurkan pertumbuhan ekonomi meningkat secara berperingkat daripada 3.3 peratus pada 2026 kepada lima peratus pada 2029. – AGENSI










