Prabowo arah polis ambil tindakan terhadap syarikat terlibat bakar hutan - Utusan Malaysia

Prabowo arah polis ambil tindakan terhadap syarikat terlibat bakar hutan

POLIS diminta mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat terlibat dengan kebakaran hutan di Indonesia. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto telah mengarahkan Polis Republik Indonesia mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat yang terlibat dalam kebakaran hutan dan tanah, termasuk syarikat yang disyaki sengaja membakar tanah untuk membersihkannya bagi tujuan pembangunan ladang.

Ketika berucap dalam mesyuarat Kabinet mengenai tindak balas terhadap bencana, yang dipantau secara dalam talian dari Jakarta pada Isnin Prabowo meminta agar identiti syarikat yang disyaki dikenal pasti dan disiasat sebelum dilaporkan terus kepadanya.

“Saya mendapati perkara ini membimbangkan, bagaimana tanah yang terbakar boleh bertukar menjadi kawasan ladang dalam tempoh yang sangat singkat. Ini jelas disengajakan, dan kita perlu tahu sama ada ia dilakukan oleh penduduk tempatan atau syarikat,” kata Prabowo.

Ketua Polis Indonesia, Jeneral Listyo Sigit Prabowo melaporkan bahawa polis telah menamakan 138 suspek dalam 200 laporan polis berkaitan kebakaran tersebut. 

Daripada jumlah itu, 119 orang disyaki sengaja melakukan pembakaran, manakala 19 yang lain dikenal pasti sebagai individu yang didakwa cuai.

Polis  sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap lapan syarikat.

Ia turut menyiasat 18 syarikat yang permitnya telah dibekukan.

Sebanyak 42 syarikat yang lesennya telah dibatalkan bagi menentukan sama ada berlaku kesalahan jenayah.

Presiden Prabowo mengarahkan Menteri Perhutanan Raja Juli Antoni, Menteri Agraria dan Tata Ruang Nusron Wahid dan Pasukan Petugas Penguatkuasaan Kawasan Hutan untuk menyiasat penglibatan syarikat dalam kebakaran tersebut.

“Jika perlu, kita harus segera membatalkan semua permit mereka, Hak Guna Usaha (HGU) dan sebagainya. Perkara ini sudah keterlaluan, dan saya mahu tahu siapa sebenarnya yang memiliki syarikat-syarikat ini,” katanya.

Presiden menegaskan kepentingan mengenal pasti pemilik di sebalik syarikat-syarikat berkenaan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan tidak hanya dikenakan terhadap pihak yang menjalankan operasi di lapangan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×