Thailand kaut hasil RM1.54b dari Malaysia - Utusan Malaysia

Thailand kaut hasil RM1.54b dari Malaysia

HAT Yai, Thailand menjadi lokasi yang paling banyak dikunjungi oleh rakyat Malaysia setiap kali melancong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Thai­land mengaut RM1.54 bi­lion daripada rakyat Malaysia yang melancong di beberapa bandar di selatan negara itu, dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos lalu, dengan secara purata seorang pelancong mem­belanjakan sekurang-kurangnya RM600 sepanjang percutian mereka.

Perbelanjaan tersebut me­liputi penginapan, makanan, membeli-belah dan aktiviti riadah, sekali gus menjadikan pelancong Malaysia antara penyumbang penting kepada ekonomi pelancongan Thailand.

Jurucakap Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) berkata, lebih 80 peratus daripada pelancong Malaysia yang berkunjung ke negara itu memilih Wilayah Songkhla dan Krabi.

Katanya, Malaysia kekal sebagai penyumbang utama sektor pelancongan Thailand dalam kalangan negara ASEAN dan kedua tertinggi di dunia selepas China.

“Sejak 1 Januari hingga 31 Ogos lalu, seramai 2,559,776 pelancong Malaysia memasuki Thailand, meningkat 18.76 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Ketibaan warga Malaysia meningkat disokong oleh beberapa faktor termasuk cuti persekolahan, Maulidur Rasul dan sambutan Hari Kebangsaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, jumlah kemasukan pelancong Malaysia dijangka berkurangan selepas berakhirnya musim cuti persekolahan tetapi aliran pelancong pada hujung minggu dijangka kekal seperti biasa dengan jumlah melebihi 10,000 hingga 15,000 orang.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Hat Yai, Songkhla, Dr. Sittipong Sittipatprapha menjangkakan jumlah pelancong Malaysia terus meningkat selepas Kerajaan Thailand pada dasarnya bersetuju membatalkan bayaran kerja lebih masa di semua pintu masuk negara itu.

Katanya, langkah berkenaan dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi sempadan, selain mengurangkan masa me­nunggu pelancong yang mema­suki Thailand.

“Kabinet secara dasarnya telah meluluskan pertimbangan untuk memansuhkan bayaran lebih masa bagi pegawai imigresen dan melaraskan format untuk penyerahan Borang Imigresen TM.2, TM.3, serta Dekla­rasi Kargo Khas (kenderaan),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×