MANILA bukan sekadar kota yang sesak dan bising tetapi teks politik yang hidup, memperlihatkan bagaimana kuasa kolonial terus membentuk agama, bahasa, ekonomi dan susunan sosial masyarakat pascakolonial.
Pengaruh Sepanyol paling jelas dapat dilihat melalui ruang serta simbol sejarah. Lawatan ke Intramuros, Gereja Saint Augustine, Rizal Park dan muzium di Manila bukan sekadar pengalaman pelancongan tetapi usaha memahami bagaimana sejarah penjajahan dibina, dipamerkan dan diabadikan dalam ingatan kolektif. Ruang tersebut bukan arkib yang neutral, sebaliknya sarat dengan naratif kuasa.
Intramuros, kota berdinding peninggalan Sepanyol, mencerminkan logik pemerintahan yang berasaskan kawalan, pemisahan dan hierarki. Pembinaannya bukan semata-mata bertujuan melindungi kawasan pentadbiran, malah memisahkan penjajah daripada penduduk tempatan.
Gereja Saint Augustine pula memperlihatkan kedudukan agama dalam projek penjajahan. Gereja ini bukan hanya tempat ibadah, tetapi turut menjadi institusi yang mempengaruhi pemikiran dan kehidupan sosial. Kristianisasi di Filipina tidak terbatas kepada penyebaran kepercayaan, malah berkait rapat dengan pembentukan ketaatan, disiplin dan penerimaan terhadap susunan pemerintahan kolonial.
Rizal Park membawa dimensi yang berbeza. Ruang ini mengingatkan penjajahan turut melahirkan penentangan intelektual. Jose Rizal bukan sekadar nasionalis tetapi lambang kekuatan pemikiran, penulisan dan kesedaran politik dalam mencabar kuasa. Namun, kedudukannya dalam naratif kebangsaan juga wajar diteliti: adakah beliau diraikan sebagai pemikir kritikal atau sekadar ikon yang telah dinyahpolitikkan?
Muzium-muzium di Manila pula menunjukkan bagaimana sejarah kolonial disampaikan kepada generasi baharu dan pelawat antarabangsa. Apa yang dipamerkan, ditekankan atau disenyapkan mencerminkan politik ingatan.
Penjajahan mudah digambarkan sebagai proses membawa peradaban, sedangkan keganasan, eksploitasi dan peminggiran kelompok tertentu mungkin kurang mendapat perhatian.
Kehadiran masyarakat Islam di Manila mengingatkan kolonialisme bukan sekadar menakluk wilayah tetapi turut menyusun hierarki agama serta menentukan kelompok yang berada di pusat atau pinggiran.
Kemiskinan yang ketara di Manila juga tidak wajar dibaca sebagai kegagalan individu semata-mata. Sebahagiannya berkait dengan struktur ekonomi yang terbentuk melalui kepentingan kuasa luar dan meninggalkan ketidaksamaan berpanjangan.
Dalam keadaan demikian, iman menjadi sumber ketahanan yang membantu manusia mencari makna ketika berdepan kehidupan yang tidak adil.
Ironinya, kemiskinan struktural wujud seiring kemajuan teknologi. Aplikasi seperti Grab Taxi dan Grab Food beroperasi dengan cekap, memperlihatkan bentuk kemodenan yang belum semestinya disertai keadilan sosial.
Teknologi menawarkan kemudahan baharu tetapi tidak secara automatik merombak struktur ekonomi dan kuasa yang telah lama terbina. Inilah wajah ‘kemodenan tanpa keadilan’.
Dari sudut pemikiran politik, pengalaman di Manila mengajak kita menilai semula makna kemerdekaan. Filipina dan Malaysia mungkin bebas secara politik, namun sebahagian kerangka kolonial masih dapat dikesan dalam agama, ekonomi dan imaginasi politik. Selagi warisan tersebut tidak diteliti secara kritis, pembangunan berisiko terus menghasilkan ketidakseimbangan.
Akhirnya, Manila mengajar ruang, iman dan sejarah tidak pernah benar-benar neutral.
Persoalannya, beranikah kita membaca sejarah bukan sebagai nostalgia, tetapi sebagai medan kritikan untuk membebaskan masa depan? –UTUSAN
DR. NUR ADILLAH OMAR
Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani,
Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan,
AbdulHamid AbuSulayman,
Universiti Islam AntarabangsaMalaysia (UIAM)










