Bahasa Melayu perlu menguasai AI

Bahasa Melayu perlu menguasai AI

BAHASA Melayu tidak wajar diperkasa dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBIMBANGAN  kecerdasan buatan (AI) semakin meminggirkan bahasa Melayu kerap dibangkitkan. Pelajar dikatakan terlalu bergantung pada teknologi, manakala penggunaan bahasa Indonesia semakin ketara dalam kandungan dijana mesin. 

Namun, persoalan sebenar bukan sekadar kemunculan istilah asing, sebaliknya kecenderungan pengguna menerima setiap jawapan AI sebagai tepat tanpa menilai kesesuaian bahasa, makna dan konteks.

AI generatif tidak memahami bahasa seperti manusia. Sistem ini mengenal pasti pola daripada data latihan sebelum meramalkan susunan perkataan yang paling sesuai. Jika sumber bahasa Melayu dalam data tersebut terhad atau kurang berkualiti, hasilnya mudah dipengaruhi bahasa yang mempunyai jejak digital lebih besar. Keadaan ini menjelaskan mengapa sesetengah keluaran AI mencampurkan ragam Melayu Malaysia dengan bahasa Indonesia.

Cabaran tersebut semakin penting kerana kehidupan digital masyarakat semakin meluas. Bahasa kini digunakan dalam pendidikan, pekerjaan, perkhidmatan awam, urusan perniagaan, hiburan dan pencarian maklumat. Apabila AI memasuki ruang tersebut, pengaruhnya terhadap cara masyarakat menulis dan berfikir turut meningkat.

Percampuran bahasa Indonesia pula tidak harus dilihat sebagai ancaman semata-mata. Bahasa Melayu dan Indonesia mempunyai sejarah serta akar serumpun. Masalah timbul apabila pengguna gagal membezakan istilah mengikut konteks dan norma tempatan. Perkataan seperti ‘butuh’, ‘bisa’, ‘kualitas’ dan ‘merubah’  mungkin difahami, namun penggunaannya tidak semestinya tepat dalam semua keadaan.

Golongan muda paling terdedah kerana AI kini digunakan sebagai pencetus idea, penyusun hujah, penterjemah, pembetul ayat malah penulis. Penggunaan berulang boleh menyebabkan gaya mesin menjadi acuan penulisan. Struktur ayat yang seragam dan frasa klise akhirnya dianggap sebagai tanda penulisan berkualiti.

Dalam pembelajaran, keadaan ini boleh mengurangkan latihan mencuba, tersalah, membetulkan dan menulis semula. Proses tersebut sebenarnya penting untuk membina kemahiran berfikir. Justeru, pelajar perlu dilatih menilai keluaran AI, menyemak istilah serta mempertahankan pilihan bahasa sendiri.

Institusi pendidikan juga wajar mengubah bentuk penilaian. Tugasan boleh merangkumi draf awal, penggunaan AI, pembetulan, justifikasi perubahan dan pembentangan lisan. Pendekatan ini menjadikan teknologi sebagai alat pembelajaran, bukan pengganti pemikiran.

Pada peringkat negara, pembangunan korpus bahasa Melayu, set data berkualiti serta model AI yang memahami konteks Malaysia perlu diperkukuh. Kerajaan, universiti, media, syarikat teknologi dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh bekerjasama menjalankan audit bahasa bagi memastikan ketepatan istilah, ejaan, laras serta makna tempatan terus terpelihara dalam ekosistem digital. –UTUSAN

 

HANI FARIESHA MOHAMAD FIRDAUS & NURUL NISHA MOHD. SHAH

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, 

Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×