Zara Qairina kali terakhir bertemu bapa pada 2017 - Utusan Malaysia

Zara Qairina kali terakhir bertemu bapa pada 2017

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bapa Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa kali terakhir beliau bertemu anaknya adalah sekitar 2017 di Sipitang.

Saksi ke-80, Mahathir Mohd. Hashim, 45, berkata, sejak itu, dia tidak lagi tinggal bersama atau pulang ke Sipitang berikutan perbezaan pendapat antaranya dengan ibu Zara Qairina.

Katanya, dia hanya berhubung dengan anaknya melalui panggilan telefon atau WhatsApp.

“Kali terakhir saya berjumpa Zara adalah sekitar tahun 2017 di Sipitang,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini.

Mahathir turut memberitahu mahkamah bahawa perkahwinannya dengan Noraidah Lamat adalah perkahwinan keduanya.

Katanya, dia memanggil anaknya ‘baby Zara’ manakala Zara Qairina memanggilnya ‘babah’.

Sebelum berkahwin dengan Noraidah, Mahathir pernah berkahwin tetapi perkahwinan itu berakhir dengan perceraian.

Mahathir berkata, dia mula bekerja di Kota Kinabalu pada pertengahan 2015 dan disebabkan tuntutan pekerjaan, dia menyewa sebuah bilik di sana dan tidak lagi tinggal bersama Zara Qairina serta ibunya di Sipitang.

“Bagaimanapun, saya masih pulang ke Sipitang untuk berjumpa Zara dan ibunya setiap satu atau dua bulan sekali. Saya tidak mampu berulang alik ke Sipitang setiap minggu kerana kekangan kewangan. Ibunya yang menjaga dan membesarkan Zara sepenuhnya,” katanya.

Mahathir berkata, berdasarkan pemerhatiannya ketika masih tinggal bersama mereka, Allahyarham seorang kanak-kanak yang ceria serta gemar ke pantai.

Katanya, Zara Qairna sering memintanya membawa ke pantai setiap kali pulang ke rumah.

Mahathir berkata, dia juga pernah membawa Zara dan ibunya bercuti di Tuaran untuk meluangkan masa bersama.

“Zara juga tidak menunjukkan sebarang tanda atau keadaan yang membimbangkan saya,” katanya.

Mahathir berkata, dia berada di Beaufort ketika menerima mesej WhatsApp daripada Noraidah antara pukul 8 hingga 10 pagi pada 16 Julai 2025, memaklumkan Zara Qairina berada di unit kecemasan.

Katanya, Noraidah turut menghantar gambar arwah terbaring atas katil tetapi ketika itu dia tidak mengetahui di hospital mana anaknya dirawat.

“Saya kemudian memaklumkan perkara itu kepada bapa, Mohd Hashim dan memintanya mencari Zara di Hospital Sipitang,” katanya.

Mahathir berkata, Hospital Sipitang menjadi lokasi pertama pencarian kerana setahunya mereka berdua tinggal di situ.

Katanya, selama ini dia percaya anaknya bersekolah di daerah terbabit.

Ujarnya, sebelum itu dia pernah ke rumah mereka di Sipitang dan mendapati Allahyarham dan ibunya sudah tidak lagi tinggal di situ.

“Saya pernah beberapa kali bertanya kepada Zara mengenai tempat tinggal dan sekolahnya ketika kami berbual melalui telefon tetapi Zara tidak memberitahu saya.

“Disebabkan itu saya menyangka Zara mungkin berada di Hospital Sipitang,” katanya.

Katanya, bagaimanapun, selepas bapanya ke Hospital Sipitang, dia dimaklumkan anaknya tidak berada di situ.

Ujarnya, dia cuba mencari Zara Qairina di Hospital Beaufort tetapi petugas di unit kecemasan memaklumkan arwah tiada di situ.

“Saya tidak ingat bagaimana saya mengetahui Zara berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE), sama ada daripada ibu Zara atau berdasarkan andaian saya sendiri.

“Saya terus bergegas ke HQE selepas mengetahui Zara berada di hospital itu,” katanya.

Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia pada hari berikutnya di HQE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×