PUTRAJAYA: Keputusan rayuan oleh enam pemerintah adat Negeri Sembilan bagi penggantungan prosiding komital berhubung isu Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan akan ditentukan kemudian.
Permohonan itu difailkan Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin dan dua lagi pembesar.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.
“Mahkamah menetapkan 14 September ini bagi pengurusan kes secara e-review untuk menetapkan tarikh keputusan,” katanya yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman dan Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh.
Pada 8 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan DKU serta Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, memulakan prosiding komital terhadap enam individu yang didakwa melanggar perintah injunksi ad interim pada 5 Jun tahun sama.
Terdahulu, peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili pemerintah adat itu berhujah bahawa Mahkamah Rayuan perlu menentukan sama ada prosiding komital itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Khas.
Katanya, persoalan perundangan itu penting kerana membabitkan isu bidang kuasa mahkamah serta kedudukan pemerintah adat Negeri Sembilan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Kebenaran untuk memulakan prosiding komital sebenarnya terhalang kerana ada isu perundangan yang amat besar iaitu Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seorang raja (ruler) mesti dibincangkan di Mahkamah Khas.
“Jadi, adakah pemerintah adat ini termasuk dan adakah Mahkamah Khas mempunyai bidang kuasa eksklusif untuk pemerintah adat?. Sekiranya keputusan mengatakan Mahkamah Tinggi tiada bidang kuasa, apa yang dilakukan Mahkamah Tinggi sebenarnya adalah salah.
“Peluang mesti diberi kepada perayu untuk mengemukakan rayuan sepenuhnya agar isu perundangan ini perlu dijawab,” katanya.
Sementara itu, peguam, Steven Thiru yang mewakili DKU dan Raja Norazli sebagai responden berhujah prosiding komital di Mahkamah Tinggi perlu diteruskan tanpa sebarang kelewatan.
Katanya, prinsip undang-undang mantap telah menetapkan bahawa apabila prosiding menghina mahkamah dimulakan, prosiding itu perlu diberi keutamaan berbanding prosiding lain.
Pertikaian undang-undang itu bermula pada 5 Mei lalu apabila Mubarak bersama lima yang lain memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan salinan minit Mesyuarat Khas DKU yang diadakan pada 17 April.
Antara kandungan minit berkenaan ialah keputusan berkaitan pelucutan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.
Pada 5 Jun lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah injunksi interim bagi mengekalkan status quo, khususnya komposisi DKU serta kedudukan Raja Norazli sebagai Setiausahanya, sementara menunggu keputusan berhubung isu bidang kuasa dan sama ada pertikaian itu boleh diputuskan oleh mahkamah. – UTUSAN










