MELAKA: Nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin, semakin disebut-sebut sebagai antara calon berpotensi Barisan Nasional (BN) untuk bertanding di DUN Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka tidak lama lagi.
Spekulasi itu semakin mendapat perhatian berikutan Rais yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka dan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu kini dilihat semakin aktif turun padang di kawasan berkenaan.
Kedudukan itu menjadikan nama Rais semakin sinonim dengan Sungai Udang apabila beliau terlibat dalam pelbagai program pembangunan, kebajikan dan kemasyarakatan, termasuk menyelesaikan isu membabitkan penduduk serta warga tentera di Kem Terendak dan Kem Sungai Udang.
Mengulas perkara tersebut, Rais yang juga Penyelaras DUN Sungai Udang berkata, beliau akan akur dengan apa juga keputusan pucuk pimpinan parti.
“Saya orang parti. Saya akan ikut arahan dan apa juga yang parti tentukan. Kita akan terus bekerja di mana sahaja saya diletakkan untuk bertanding.
“Saya tahu kadang-kadang ia menjadi satu polemik di mana-mana pihak. Tetapi komitmen saya kepada warga Sungai Udang, warga Paya Rumput, warga Klebang dan warga Pantai Kundor.
“Komitmen saya adalah untuk memastikan di kesemua DUN yang kita bertanding, kita akan memperoleh kemenangan. Insya-Allah, kita akan cuba sedaya upaya,” katanya kepada pemberita selepas Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Sungai Udang dan Majlis Penutup Karnival Sungai Udang Kampung Kita, di Tapak Masjid Kariah Seri Bertam, Sungai Udang, di sini, hari ini.
Majlis penutupan program tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
DUN Sungai Udang mempunyai nilai strategik kepada BN kerana kerusi berkenaan terlepas kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka 2021 selepas calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Mohd Aleef Yusof, memperoleh 6,789 undi untuk menewaskan calon BN-UMNO, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang memperoleh 6,259 undi.
Mohd Aleef menang dengan majoriti hanya 530 undi, menjadikan Sungai Udang antara kerusi yang dilihat berpotensi untuk dirampas semula BN pada PRN akan datang.
Mengulas lanjut Rais berkata, sebagai Pengerusi BN Tangga Batu, komitmennya bukan hanya tertumpu kepada satu kawasan, sebaliknya mahu memastikan kemenangan BN di semua DUN yang ditandingi parti berkenaan.
Dalam masa sama, Rais turut menegaskan bahawa usaha mendekati rakyat yang dilaksanakan menerusi pelbagai program bukan bermusim menjelang pilihan raya.
“Kita tidak boleh berhenti. Kerja-kerja yang kita buat ini bukanlah kerja bermusim untuk pilihan raya. Wakil Rakyat Untuk Rakyat ini telah dimulakan sejak dua tahun yang lalu,” katanya. – UTUSAN










