Operasi SAR mangsa banjir Nepal semakin mencabar

Operasi SAR mangsa banjir Nepal semakin mencabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir di Nepal kini berdepan cabaran luar biasa apabila beberapa operasi dijalankan serentak di dalam terowong hidroelektrik di kawasan Himalaya.

Pakar penyelamat Australia, Arnold Dix, berkata situasi itu antara cabaran paling sukar pernah dihadapinya berikutan operasi menyelamat perlu dijalankan di beberapa lokasi pada masa sama.

“Kami berdepan sesuatu yang belum pernah saya hadapi sebelum ini.

“Bukan satu operasi menyelamat, tetapi beberapa operasi berpotensi yang berlaku serentak di lokasi berbeza, masing-masing dengan bahaya, ketidakpastian dan nyawa yang mungkin masih dapat diselamatkan,” kata Dix, Presiden Persatuan Terowong dan Ruang Bawah Tanah Antarabangsa, dalam satu hantaran di media sosial.

Runtuhan glasier dan gunung di sempadan China-Nepal pada 26 Ogos mengorbankan sekurang-kurangnya 1,385 orang, manakala lebih 5,500 lagi masih hilang di kedua-dua negara.

Ratusan pekerja projek hidroelektrik antara yang masih hilang, manakala operasi mencari dan menyelamat kini memasuki hari ke-13.

Nepal mengisytiharkan Isnin sebagai hari berkabung kebangsaan mengikut tradisi Hindu, namun operasi menyelamat tetap diteruskan.

Jurucakap Tentera Nepal, Raja Ram Basnet, berkata operasi dijalankan pada tiga peringkat iaitu di darat, udara dan dalam terowong.

“Fokus kami adalah mencari dan menyelamat di tiga peringkat — di darat, udara dan dalam terowong. Kami memastikan tiada sesiapa yang masih terperangkap,” katanya kepada AFP.

Harapan untuk menemukan lebih ramai mangsa terselamat meningkat selepas tiga pekerja berjaya diselamatkan dari dalam terowong, termasuk dua warga Nepal pada Jumaat dan seorang warga China pada Sabtu.

Pakar dari China, India dan Korea Selatan turut membantu pasukan Nepal dalam operasi berkenaan, termasuk Dix.

“Kami dinilai bukan sahaja berdasarkan nyawa yang berjaya diselamatkan, tetapi juga nyawa yang enggan kami tinggalkan,” katanya.

Dix sebelum ini menjadi penasihat dalam operasi menyelamat 41 pekerja yang terperangkap selama 17 hari di dalam terowong Silkyara yang runtuh di Uttarakhand, India pada 2023.

“Silkyara mengajar saya supaya tidak menganggap sesuatu yang sukar berlaku sebagai sesuatu yang mustahil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×