MPT beri amaran sita premis jual top-up judi online

MPT beri amaran sita premis jual top-up judi online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan mengambil tindakan termasuk menyita premis yang terus beroperasi selepas lesen perniagaan dibatalkan kerana menjalankan aktiviti tidak dibenarkan.

Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa mengeluarkan lesen premis berdasarkan jenis perniagaan yang diisytiharkan serta dokumen lengkap dikemukakan pemilik.

“Apabila kita semak dan semua teratur, kita akan luluskan. Tetapi kalau dalam perniagaan itu dia ada buat benda yang tak sepatutnya, yang itu pihak polis akan buat siasatan,” katanya dalam sidang akhbar Persatuan Perkhidmatan Komuniti Taiping (ESDA) di sini, hari ini.

Menurutnya, MPT sebelum ini turut menerima surat daripada pihak polis memohon pembatalan lesen premis selepas siasatan mendapati berlaku aktiviti yang tidak sepatutnya.

Mohamed Akmal berkata, sekiranya premis terbabit masih meneruskan operasi selepas lesen dibatalkan, MPT boleh mengambil tindakan termasuk menyita premis berkenaan.

Katanya, sepanjang beliau memegang jawatan di MPT, pihaknya tidak menerima laporan berhubung premis yang terus beroperasi selepas lesen perniagaan dibatalkan.

“Setakat saya di sini, apabila kita keluarkan pembatalan itu, tidak ada lagi cerita yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan perlu dibuat berdasarkan siasatan dan bukti yang lengkap bagi memastikan ia tidak dilakukan secara terburu-buru.

“Kita tak bolehlah secara semberono. Kita kena siasat betul-betul. Kalau kita ambil tindakan secara terburu-buru, akhirnya dia akan diberi peluang untuk mengambil tindakan perundangan kepada kita,” katanya.

Sebelum ini, tular rakaman video Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie, memberi tempoh sebulan kepada semua premis yang didakwa aktif menjual top-up judi dalam talian di seluruh kawasan Parlimen Bukit Gantang supaya menghentikan kegiatan berkenaan sebelum tindakan susulan termasuk mengadakan himpunan di hadapan premis terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×