GEORGE TOWN : Kerajaan Pulau Pinang akan melelong sebidang tanah seluas enam hektar di Bandar Tanjung Pinang, di sini pada harga rizab RM313.63 juta bagi membiayai Projek Jalan Pintasan Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu memastikan ia dapat disiapkan sepenuhnya menjelang April 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, tanah berstatus pegangan bebas itu merupakan sebahagian daripada tuntutan Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZC) bagi kerja-kerja projek yang telah disiapkan.
Beliau berkata, langkah itu dipersetujui kerajaan negeri selepas mengambil kira keperluan CZC untuk menukar nilai tanah berkenaan kepada aliran tunai bagi membiayai baki kerja projek.
“Pelaksanaan projek kini pada kemajuan fizikal 92.46 peratus (setakat 31 Ogos), namun, kemajuan kewangan hanya 81.69 peratus sahaja. Ini bermakna CZC telah menuntut tanah bernilai RM695.977 juta setakat ini dengan tanah seluas 11.6183 ekar bernilai RM427.657 juta telah diberi milik.
“Justeru, masih terdapat baki nilai tanah yang telah dituntut tetapi belum diberi milik sebanyak RM225.768 juta,” katanya di sini, hari ini.
Zairil berkata, projek berkenaan dibiayai menerusi kaedah ‘land swap’ dan bukannya bayaran tunai kepada kontraktor dengan plot-plot tanah diberi milik berdasarkan tuntutan kerja yang telah disiapkan.
Menurutnya, tanah yang akan dilelong itu terletak di P.T. 858 (Plot 7A), Seksyen 2, Bandar Tanjung Pinang, Daerah Timur Laut yang mempunyai kedudukan strategik bersebelahan Gurney Bay dan Pulau Andaman dengan keuntungan yang diperoleh hasil daripada penjualan tanah berkenaan akan dikongsi antara kerajaan negeri dengan CZC.
“Tanah premium (prime land) berkeluasan enam ekar ini akan ditawarkan menerusi lelongan awam pada 7 Oktober 2026, Rabu, 11 pagi, bertempat di Aras 51, Komtar dan harga rizab ditetapkan sebanyak RM313.632 juta, bersamaan RM1,200 bagi setiap kaki persegi,” katanya.
Katanya, pembida yang berminat diwajibkan mengemukakan draf bank deposit berjumlah RM3.136 juta iaitu satu peratus daripada harga rizab, atas nama Pentadbir Tanah Daerah sebelum pukul 11 pagi pada hari lelongan.
Katanya, maklumat lanjut mengenai terma dan syarat lelongan, prosedur penyertaan serta perincian hartanah boleh diperoleh daripada ejen lelongan rasmi, One Asia Property Consultants (PG) Sdn. Bhd. di talian 04-2277222.
Zairil berkata, penyertaan dalam sesi lelongan itu tertakluk sepenuhnya kepada Terma dan Syarat Perisytiharan Jualan (Proclamation of Sale) yang ditetapkan Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang. – UTUSAN










