Tiada babak dipotong, filem Orang Perang dapat klasifikasi 18 - Utusan Malaysia

Tiada babak dipotong, filem Orang Perang dapat klasifikasi 18

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Filem epik aksi, Orang Perang, menerima klasifikasi 18 daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) meskipun diluluskan tanpa sebarang potongan babak dan mengehadkan tayangannya kepada penonton berusia 18 tahun ke atas sahaja.

Pengarah filem Orang Perang, Hashim Rejab, berkata, keputusan itu dibuat mengikut undang-undang baharu, walaupun pihak produksi sudah mengemukakan surat dan e-mel kepada LPF bagi mendapatkan rundingan berhubung klasifikasi tersebut.

Katanya, dia tetap menghargai tindakan LPF yang meluluskan filem itu tanpa sebarang suntingan dan berharap isu klasifikasi dapat dibincangkan terlebih dahulu.

“Jasa pihak LPF besar pada filem ini kerana tiada sebarang potongan dari segi babak tapi filem ini dapat klasifikasi 18 di mana ia hanya boleh ditonton mereka berusia 18 tahun ke atas saja.

“Kita juga ada menghantar surat dan email untuk minta rundingan tapi pihak LPF tidak terima dan mereka beritahu klasifikasi 18 kerana mengikut undang-undang baharu.

“Kalau orang tanya kenapa filem epik ini mendapat klasifikasi 18, itu kena tanya pihak LPF,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran treler, poster dan runut bunyi filem Orang Perang di sini, pada Jumaat.

Tambah Hashim, pada pandangannya, filem itu masih sesuai ditonton remaja berusia 15 atau 16 tahun sekiranya ditemani ibu bapa atau penjaga.

“Pada pendapat saya, filem ini boleh ditonton oleh penonton bawah umur 18 tahun, contohnya, jika nak bawa anak atau adik umur 15 dan 16 tahun untuk tonton filem ini dengan pengawasan orang dewasa.

“Tapi saya tidak tahu sama ada budak bawah umur dibenarkan untuk menontonnya,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon Fauzi Nawawi berharap agar filem berkenaan dapat dipertimbangkan semula untuk menerima klasifikasi sekurang-kurangnya 13 supaya lebih ramai golongan muda dapat menyaksikan kisah yang sarat dengan nilai kenegaraan itu.

“Kalau klasifikasi 18 itu macam kejam sangat sebab ada penonton yang nak bawa anak-anak umur 12 tahun dan 13 tahun untuk menonton filem ini.

“Macam mana kita nak memupuk semangat kenegaraan kalau filem ini dapat klasifikasi 18 kerana kalau nak melentur buluh biarlah dari rebungnya kerana kalau dah jadi buluh tidak ada gunanya lagi?

“Saya sendiri tertarik untuk berlakon dalam filem ini kerana jalan cerita dan skripnya bagus dan saya tahu filem ini akan dikenang dan disanjung oleh generasi muda selepas mereka menontonnya nanti,” katanya.

Untuk rekod, filem Orang Perang mengangkat perjuangan masyarakat Orang Asli yang mempertahankan tanah air menerusi naskhah berlatarkan aksi epik.

Filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Niezam Zaidi, Ammar Alfian, Syazwan Zulkifly, Josiah Hogan, Adam Corrie dan Fauzi Nawawi, selain bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 1 Oktober depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×