‘Lapangan terbang sudah dibuka namun tiada penerbang pulang ke KL’

‘Lapangan terbang sudah dibuka namun tiada penerbang pulang ke KL’

SEBAHAGIAN penumpang pesawat ke tanah air yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia ekoran pembatalan penerbangan akibat letusan Gunung Anak Krakatau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar merupakan antara rakyat Malaysia yang masih terkandas di Indonesia selepas penerbangan pulang ke tanah air mereka dibatalkan.

Ia berikutan penutupan beberapa buah lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK), Jakarta susulan letusan Gunung Anak Krakatau pada Jumaat lalu.

Zainul Rijal yang juga peguam memberitahu, penerbangan beliau dijadualkan berlepas pada pukul 10 pagi tadi namun terpaksa dianjakkan semula pada hari esok susulan ruang udara yang masih diselubungi abu gunung berapi Anak Krakatau.

“Semalam CGK tutup seperti dalam notis sehingga pukul 5.30 pagi tadi dan hari ini lapangan terbang buka tetapi penerbangan tidak berlepas ke Kuala Lumpur.

“Kami dimaklumkan tiada penerbangan akan dilepaskan sehingga pukul 6 petang hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, jadual baharu penerbangannya telah ditetapkan pada pukul 9 pagi esok namun mungkin boleh berubah mengikut situasi semasa.

“Jadualnya pada pukul 9 pagi tetapi tidak tahu lagi masih tidak pasti dengan situasi sekarang,” katanya.

Sementara itu pelakon, Puteri Sarah Liyana yang turut terkandas di Jakarta memaklumkan di media sosialnya bahawa penerbangan pulang beliau ke Kuala Lumpur telah dijadualkan semula petang ini.

Sebelum ini media melaporkan Indonesia menutup beberapa buah lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta ekoran letusan Gunung Anak Krakatau sekali gus menyebabkan sejumlah jadual penerbangan terpaksa dibatalkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×