Mengenali Jepun menerusi mitos cerita rakyat

Mengenali Jepun menerusi mitos cerita rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengenali Jepun bukan sekadar memahami adat dan budayanya, malah negara itu turut mempunyai khazanah mitos serta cerita rakyat yang terus hidup dan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk seni, termasuk animasi.

Antara yang menarik perhatian ialah yokai, iaitu makhluk mitos dan entiti ghaib yang berasal daripada cerita rakyat Jepun sejak berkurun lamanya.

Cerita roh misteri dan raksasa legenda hinggalah makhluk aneh dengan kisah tersendiri, dunia yokai kini dibawa lebih dekat kepada masyarakat Malaysia menerusi pameran Yokai Tales: Japan’s 47 Prefectures.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berlangsung dari 4 hingga 30 September 2026 di Sky Garden, Menara Kuala Lumpur, pameran seni antarabangsa itu menghimpunkan kisah serta karya seni yang diinspirasikan daripada yokai dari kesemua 47 wilayah di Jepun.

Menurut Pengarah TCGKL yang juga penganjur, Ikmal ­Hazlan Ikmal Hisham berkata, pameran berkenaan mengetengahkan makhluk mitos menerusi arca tanah liat, cat air dan lukisan hasil karya tiga ilustrator Jepun terkenal, Kouki Saitou, Yuka Morii dan Kagemaru Himeno.

Katanya, karya tanah liat buatan tangan Yuka Morii memberikan dimensi tiga yang unik dan lebih ceria kepada watak-watak yokai, manakala Saitou dan Himeno pula mengetengahkan gaya ilustrasi tersendiri yang memberi penekanan kepada karakter dan penceritaan.

“Kesemua karya itu menampilkan tafsiran kontemporari terhadap cerita rakyat Jepun, sekali gus menghubungkan mitologi tradisional dengan seni watak moden.

“Pameran itu turut mengetengahkan yokai dari setiap wilayah Jepun, membolehkan pengunjung melihat bagaimana kisah, kepercayaan dan imaginasi masyarakat setempat membentuk pelbagai karakter makhluk mitos tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ikmal Hazlan lagi, Yokai Tales membawa pengunjung menyelami sisi Jepun yang mungkin kurang dikenali berbanding tarikan pelancongan konvensional.

“Tiga ilustrator Jepun yang diketengahkan dalam pameran itu mempunyai pendekatan seni berbeza.

” Sebagai contoh Kouki Saitou dikenali menerusi gubahan watak yang ekspresif dan gaya ilustrasi tersendiri, memberikan tenaga serta personaliti kepada makhluk fantasi dan cerita rakyat yang diterjemahkannya.

“Manakala Yuka Morii pula terkenal dengan karya tanah liat buatan tangan serta tafsiran tiga dimensi yang unik terhadap watak dan yokai,” jelasnya.

Sementara itu, Kagemaru Himeno mengetengahkan gaya seni yang anggun menerusi ilustrasi berteraskan watak, selain memberikan perspektif halus dan penuh imaginasi terhadap dunia mitologi serta fantasi Jepun.

Gabungan ketiga-tiga seniman itu menjadikan pameran berkenaan bukan sahaja sebuah himpunan karya seni, malah satu perjalanan meneroka cerita rakyat Jepun menerusi perspektif seni kontemporari.

Menurut Ikmal Hazlan lagi, pengunjung turut berpeluang menyaksikan sesi melukis dan mengukir secara langsung, sesi lakaran serta tandatangan, pameran karya seni dan lelongan karya secara langsung, selain mendapatkan cenderamata eksklusif acara.

“Pengunjung juga berpeluang bertemu dengan artis yang diketengahkan, dengan pakej tandatangan ditawarkan pada harga bermula RM79,” jelasnya.

Tambah Hazlan lagi, Yokai Tales menawarkan perspektif berbeza dalam mengenali Jepun. Berbanding tarikan pelancongan popular yang lazimnya menjadi tumpuan, pameran itu membawa pengunjung menyelami kisah tempatan, kepercayaan serta imaginasi yang membentuk kehidupan masyarakat di seluruh negara berkenaan.

Dengan kesemua 47 wilayah Jepun diketengahkan, pameran itu ibarat membawa sebahagian besar khazanah Jepun ke bawah satu bumbung untuk diterokai.

Yokai Tales: Japan’s 47 Prefectures berlangsung dari 4 hingga 30 September 2026 di Sky Garden, Menara Kuala Lumpur. Tiket boleh didapati menerusi laman acara rasmi TCGKL.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini